
KUALA LUMPUR – Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar berjaya menebus kekalahan kepada Diego Paez apabila menewaskan petarung itu menerusi keputusan sebulat suara juri dalam aksi ulangan pada The Inner Circle 35, hari ini.
Johan yang lebih dikenali sebagai Jojo mempamerkan aksi bertenaga sepanjang tiga pusingan pertarungan sengit itu sebelum mengesahkan kemenangan ke atas Paez yang pernah menewaskannya sebelum ini.
Kemenangan tersebut membolehkan petarung berusia 19 tahun itu menutup episod kekalahan kepada Paez sekali gus membuktikan peningkatan yang dilakukan sepanjang kem latihan bagi menghadapi pertemuan semula berkenaan.
Sebelum pertarungan, Johan menegaskan dia sudah melakukan penambahbaikan dalam beberapa aspek termasuk kepantasan, ketepatan masa serangan dan teknik bagi memastikan persembahan lebih baik berbanding pertemuan terdahulu.
Dia turut mengakui sudah menonton semula pertarungan pertama mereka beberapa kali bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki, namun memilih untuk tidak mendedahkan secara terperinci perubahan yang dilakukan menjelang aksi ulangan itu.
Kekalahan terdahulu tidak mematahkan semangat Johan, sebaliknya dia kekal percaya kepada proses latihan dan menjadikan setiap pertarungan sebagai peluang untuk meningkatkan kemampuan diri.
Kemenangan ke atas Paez juga menjadi perkembangan positif buat Johan yang sebelum ini berdepan cabaran untuk kembali ke landasan kemenangan selepas tewas kepada Ramadan Ondash.
Kejayaan itu diharap dapat menjadi pembakar semangat buat Johan untuk terus memperkemaskan permainannya dan memburu lebih banyak kemenangan dalam pentas ONE Championship selepas berjaya membalas kekalahan kepada Paez. -KOSMO! ONLINE
The post Jojo tebus kekalahan, tundukkan Paez appeared first on Kosmo Online.






