
KOTA BHARU – Kumpulan aktivis media sosial diingatkan agar tidak jahil dalam aspek undang-undang dengan membuat tindakan sendiri terhadap pelarian etnik Rohingya di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, meskipun mempunyai niat yang betul, golongan aktivis media sosial perlu tahu aspek undang-undang sebelum membuat sebarang tindakan.
“Isu sebenarnya adalah kejahilan undang-undang itu sendiri. Kumpulan aktivis itu jahil dan tidak faham undang-undang. Bukan senang kita nak halau mereka (Rohingya).
“Ke mana kita mahu halau mereka pergi? Cuba cakap dengan saya? Myanmar tidak terima, mahu hantar ke Bangladesh pun tidak iktiraf mereka sebagai rakyat.
“Kumpulan aktivis ini mahu halau mereka. Isu berkaitan Rohingya ini kerajaan fikir bukan hari ini, malah sudah berpuluh tahun lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan, polis membuka dua kertas siasatan berhubung isu tular melibatkan aktivis media sosial yang dipercayai menggempur etnik Rohingya di daerah ini pada Jumaat lalu.
Mohd. Yusoff berkata, pihak mengambil maklum isu tular melibatkan seorang aktivis media sosial dan isu berkaitan komuniti Rohingya di negeri ini.
Katanya, polis memandang serius setiap isu yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.
“Sehubungan itu, polis Kelantan membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 341/268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mengganggu ketenteraman awam dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan rompakan berkumpulan.
“Bagi kes di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dua lelaki ditangkap bagi membantu siasatan kes samun yang melibatkan seorang individu yang terdiri dalam kalangan komuniti Rohingya,” katanya – KOSMO! ONLINE
The post Rohingya: Kumpulan aktivitis media sosial jangan jahil undang-undang appeared first on Kosmo Online.






