
PETALING JAYA – Sindiket penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai tumpas selepas polis merampas barangan bernilai RM1.49 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, semalam.
Operasi Op Taring Alpha 1 yang dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Bahagian Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman itu turut menahan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 22 tahun.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 12.05 tengah hari di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pemeriksaan terhadap kenderaan suspek berusia 20 tahun itu menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai.
“Hasil soal siasat awal membawa pasukan operasi ke lokasi kedua di Semenyih, Selangor kira-kira pukul 3 petang yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan sementara sebelum rokok berkenaan diedarkan.
“Di lokasi itu, polis menemukan stok rokok dalam kuantiti lebih besar membabitkan pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, serbuan ketiga pula dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor dan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok masing-masing selama kira-kira empat dan enam bulan.
Susulan itu, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 untuk membantu siasatan.
Sepanjang 1 Januari hingga kini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melancarkan 237 serbuan di seluruh negara dengan 411 individu ditahan dan nilai rampasan keseluruhan RM312.52 juta. – KOSMO! ONLINE
The post Rokok seludup RM1.49 juta dirampas, dua penghantar ditahan appeared first on Kosmo Digital.





