
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih terlalu awal untuk melihat atau membincangkan kemungkinan rombakan Kabinet ketika ini.
Malah, beliau tidak mengetahui apa–apa berkenaan perkembangan dan perubahan yang melibatkan beberapa jawatan itu.
“Awal lagi saya tak tahu mengenai rombakan (Kabinet), ” katanya ketika ditemui pemberita ketika Majlis Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Ditanya mengenai tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai senator yang akan berakhir pada 11 Disember ini, Anwar berkata, beliau juga belum dimaklumkan sebarang berita berhubung perkara berkenaan.
“Yakah (tempoh tamat pelantikan Amir Hamzah)? Beliau (Amir Hamzah) belum beritahu apa-apa, ” katanya ringkas.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Kerajaan Perpaduan dijangka melakukan perubahan dalam barisan Kabinet dalam masa terdekat ekoran kemungkinan berlaku dua kekosongan.
Bagaimanapun perubahan itu difahamkan tidak membabitkan menteri UMNO dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya hanya menggantikan wakil DAP serta seorang lagi anggota pentadbiran bertaraf Senator.
Sumber memaklumkan, perkembangan itu membabitkan kedudukan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan yang mahu meletak jawatan susulan keputusan DAP menolak pengampunan bersyarat bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Selain itu, tempoh Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara berakhir Disember ini dan perkhidmatannya perlu disambung jika mahu beliau terus kekal berada dalam Kabinet. – UTUSAN
The post Rombakan Kabinet: Masih terlalu awal – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.






