Rompin pilihan tepat PABM

23 Nov 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rompin pilihan tepat PABM

ROMPIN kini muncul sebagai harapan baharu buat sukan angkat berat negara apabila Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bercadang mempercepatkan perpindahan atlet kebangsaan dari Bukit Jalil ke pusat latihan yang sedang dinaik taraf di daerah itu.

Cadangan itu bukan sekadar melibatkan pertukaran lokasi latihan, sebaliknya mencerminkan perubahan besar dalam pendekatan pembangunan atlet elit negara yang semakin menekankan aspek disiplin, keselamatan dan kawalan persekitaran.

Keputusan itu hadir ketika komuniti sukan negara masih terkesan dengan nasib menimpa atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menamatkan kariernya.

Insiden tersebut membuka semula perbincangan mengenai keperluan mewujudkan persekitaran latihan lebih terkawal, khususnya bagi atlet yang sedang dipersiapkan untuk membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

Dari sudut pengurusan sukan moden, lokasi latihan memainkan peranan sama penting dengan program kejurulatihan kerana atlet elit bukan sahaja memerlukan kemudahan terbaik, malah persekitaran yang dapat mengurangkan gangguan luar.

Bukit Jalil sememangnya menjadi nadi pembangunan sukan negara sejak sekian lama, namun suasananya yang terbuka dengan akses lebih mudah kepada aktiviti luar kadangkala mewujudkan cabaran dari aspek pemantauan dan kawalan atlet.

Di Rompin, situasi jauh berbeza memandangkan lokasinya yang agak terpencil daripada kesibukan bandar memberi kelebihan untuk mewujudkan suasana latihan yang lebih tersusun tanpa banyak gangguan.

Model seperti ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu dalam dunia sukan kerana banyak kuasa besar sukan dunia menempatkan atlet mereka di pusat latihan khusus, jauh daripada hiruk-pikuk bandar bagi memastikan tumpuan atlet tidak terjejas.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat menyifatkan penempatan sedia ada di Bukit Jalil kurang sesuai kerana terdedah dengan pelbagai aktiviti luar waktu latihan yang memberi kesan kepada atlet.

“Kita kena buat keputusan seperti yang dicadangkan sama ada ia (atlet) perlu dibawa ke Rompin ataupun tidak. Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan buat keputusan untuk pindahkan atlet yang ada di Bukit Jalil ke Rompin.

“Di Bukit Jalil sebenarnya kurang sesuai kerana ia terbuka dan peraturannya agak longgar. Jadi, ia tidak memberikan impak positif, terutamanya ketika melakukan persiapan ke kejohanan,” katanya.

Apa yang cuba dilakukan PABM boleh dianggap sebagai usaha membina budaya profesional secara menyeluruh. Atlet bukan sahaja hadir ke gimnasium untuk berlatih, tetapi menjalani rutin harian yang dipantau dari segi rehat, pemakanan dan pemulihan fizikal.

Aspek keselamatan juga menjadi faktor penting dalam cadangan perpindahan ini berdasarkan risiko dihadapi atlet, terutamanya mereka yang perlu berulang-alik ke pusat latihan.

Memandangkan pusat kecemerlangan di Rompin masih berada dalam fasa naik taraf dan dijangka siap sepenuhnya Jun atau Julai tahun depan, Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mengambil inisiatif lain bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nur Azmi Ahmad mencadangkan supaya MSN menyediakan kenderaan berserta pemandu untuk kemudahan atlet, sekali gus menjamin keselamatan mereka.

“MSN perlu menyediakan kenderaan secara 24 jam dengan ada pemandu untuk kegunaan atlet. Insiden seperti ini bukan dialami Hafizuddin sahaja kerana atlet-atlet lain juga pernah berdepan situasi sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Rompin pilihan tepat PABM appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved