
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, media melaporkan atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin bakal menjalani pembedahan.
Ia susulan kecederaan serius yang dialami oleh Muhammad Hafizuddin atau juga dikenali sebagai Udin selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya di Lebuhraya SUKE pada 16 November lalu.
Menurut Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, atlet tersebut mengalami kecederaan patah tulang tangan kanan dan komplikasi serius melibatkan salur darah pada bahagian terbabit di mana bahagian tersebut tidak lagi berfungsi serta turut mengalami kecederaan kecil pada kepala.
PABM Sahkan Muhammad Hafizuddin Selamat Jalani Pembedahan, Tangan Kanan Terpaksa Dipotong Untuk Selamatkan Nyawa
Terbaharu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat mengesahkan atlet yang berusia 22 tahun itu telah selamat menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada malam tadi.
Namun jelasnya, tangan kanan atlet tersebut tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong.
Kongsi Ayub, keputusan memotong tangan atlet berkenaan dibuat atas saranan doktor untuk menyelamatkan nyawanya.
“Udin selesai menjalani pembedahan lebih tujuh jam tadi di HKL. Doktor cuba menyelamatkan tangannya.
“Tetapi tangan kanannya terpaksa dipotong paras atas siku yang mungkin mengancam nyawanya,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Muhammad Hafizuddin Masih Belum Sedar Sehingga Jam 4.30 Pagi Tadi
Lapor Sinar Harian, pembedahan mengambil masa selama hampir tujuh jam dan selesai pada jam 8.40 malam semalam (17 November).
“Setakat pagi ini, kami belum mendapat maklumat sama ada beliau sudah dipindahkan ke wad biasa atau belum kerana masih di bawah kesan bius.
“Setakat selepas jam 4.30 pagi tadi, beliau masih belum sedar dan mungkin akan mengambil sedikit masa, berkemungkinan pada pagi ini (untuk sedar),” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
PABM & MSN Kerjasama Beri Sokongan Moral Kepada Muhammad Hafizuddin
Tambah Ayub lagi, pihak PABM dengan MSN akan bekerjasama dalam memberi sokongan moral kepada Muhammad Hafizuddin serta keluarga bagi membantu atlet tersebut menghadapi situasi sukar terbabit.
Jelasnya, aspek psikologi serta kaunseling juga akan diberi perhatian memandangkan kejadian itu sudah pastinya memberi kesan besar kepada atlet tersebut.
“Kita bersama MSN berada di hospital sejak pagi semalam bagi mengikuti perkembangan keadaannya.
“Kita juga sudah berbincang mengenai keperluan menyediakan kaunseling dan sokongan moral kerana kita faham keadaan ini bukan mudah untuk diterima,” ujarnya.
Sebelum ini, MSN Perlis turut memaklumkan Muhammad Hafizuddin turut ditidurkan bagi membolehkan pasukan perubatan meneruskan rawatan intensif terhadapnya.
Muhammad Hafizuddin Cipta Rekod Dalam Penampilan Sulung Di Sukan Komanwel Glasgow 2026
Terdahulu, Muhammad Hafizuddin telah mencipta kejayaan yang membanggakan negara apabila berjaya meraih pingat emas bagi kategori 88 kilogram (kg) lelaki dalam penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Dalam acara tersebut, dia berjaya mencatatkan jumlah keseluruhan 345kg menerusi 162 kg dalam acara snatch serta 183 kg bagi acara clean and jerk.
Malah, pencapaiaan itu turut menyaksikan Muhammad Hafizuddin berjaya mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara snatch dengan Angkatan rekod 162kg serta rekod baharu bagi kategori berkenaan dalam temasya Sukan Komanwel itu.






