Visionary Heritage terbit sukuk RM276.5 juta bagi pembelian tiga hartanah industri di Johor, Selangor

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 3:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Visionary Heritage terbit sukuk RM276.5 juta bagi pembelian tiga hartanah industri di Johor, Selangor Image from: Visionary Heritage terbit sukuk RM276.5 juta bagi pembelian tiga hartanah industri di Johor, Selangor sarah05/11/2026 - 15:26 Gambar hiasan dari laman web ISP Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov - Visionary Heritage Berhad (VHB), syarikat tujuan khas (SPV) tajaan ISP Holding Sdn Bhd, berjaya mengumpul RM276.5 juta menerusi tiga terbitan Sukuk Wakalah bagi membiayai pembelian hartanah industri di Johor dan Selangor.

 

Tiga terbitan yang disempurnakan pada Oktober 2026 itu dilaksanakan di bawah Program Sukuk Wakalah Pensekuritian Sokongan Aset (ABS) Industri Mampan bernilai RM2 bilion, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan sukuk yang diterbitkan kepada RM390.5 juta.

 

Menurut ISP Group of Companies (ISP Group), dana terbaharu itu digunakan untuk membiayai pemerolehan tiga hartanah industri, masing-masing satu di Iskandar Puteri, Johor, Shah Alam dan Petaling Jaya, Selangor.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding, Datuk Eric Ng berkata, penyempurnaan tiga terbitan dalam tempoh sebulan membuktikan keyakinan pelabur terhadap strategi pembiayaan hartanah industri yang dilaksanakan kumpulan.

 

“Ketika melancarkan program ini, kami berazam membuktikan bahawa hartanah industri di Malaysia boleh dibiayai secara mampan dan pada skala besar. Penyempurnaan tiga terbitan dalam sebulan, yang lebih dua kali ganda saiz terbitan sulung, mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap program ini dan strategi jangka panjang kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terbitan terbaharu itu menyusuli Sukuk Wakalah Hijau ASEAN sulung bernilai RM114 juta pada Mei 2025, dengan program berkenaan setakat ini membiayai empat hartanah industri di Johor dan Selangor.

 

Daripada tiga hartanah yang baru diperoleh, aset di Iskandar Puteri telah menerima pensijilan bangunan hijau GreenRE Bronze, manakala penilaian pensijilan masih dijalankan bagi hartanah di Shah Alam dan Petaling Jaya.

 

Eric berkata, kemampanan kekal menjadi teras strategi kumpulan yang akan terus mendapatkan pensijilan bangunan hijau bagi hartanah di bawah program sukuk itu, seiring rancangan memperluas portfolio hartanah industri di seluruh Malaysia.

 

Kerangka Sukuk Cagaran Hijau program berkenaan turut menerima Penarafan Pembiayaan Mampan Perak daripada RAM Sustainability, dengan pendedahan yang dinilai selaras dengan kerangka pelaburan mampan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Piawaian Bon Hijau ASEAN dan Prinsip Bon Hijau ICMA.

 

CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama tunggal, penyusun utama tunggal dan pengurus utama tunggal bagi terbitan tersebut, manakala Public Islamic Bank Berhad melanggan tranche kanan sukuk berkenaan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved