UEM Sunrise sedia pembiayaan awal RM226.6 juta bagi projek perindustrian di Johor, kos mungkin bertambah

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 6:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UEM Sunrise sedia pembiayaan awal RM226.6 juta bagi projek perindustrian di Johor, kos mungkin bertambah Image from: UEM Sunrise sedia pembiayaan awal RM226.6 juta bagi projek perindustrian di Johor, kos mungkin bertambah sarah05/11/2026 - 18:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov - UEM Sunrise Berhad memperincikan komitmen pembiayaan awal sebanyak RM226.6 juta bagi projek taman perindustrian bersepadu di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor, dengan kemungkinan jumlah itu bertambah bergantung kepada kos pembangunan sebenar dan pembiayaan luar yang diperoleh.

 

Menurut pemakluman tambahan kepada Bursa Malaysia, komitmen itu merangkumi pelaburan ekuiti RM3 juta dan pinjaman awal pemegang saham sebanyak RM223.6 juta yang akan disediakan oleh anak syarikatnya, UEM Land Berhad (UEML), kepada syarikat usaha sama dengan AME Development Sdn Bhd.

 

UEM Sunrise menjelaskan, pinjaman awal RM223.6 juta itu bersamaan kira-kira 3.5% daripada aset ketara bersih kumpulan berjumlah RM6.37 bilion, manakala sebarang bantuan kewangan tambahan yang menyebabkan jumlah keseluruhan mencapai atau melebihi 5% memerlukan kelulusan pemegang saham mengikut syarat penyenaraian Bursa Malaysia.

 

Kos pembangunan masih belum ditentukan

Kumpulan itu memaklumkan anggaran kos pembangunan kasar projek berkenaan masih belum dapat ditentukan kerana pembangunan tersebut berada pada peringkat awal perancangan, sementara pelan pembangunan masih belum dimuktamadkan.

 

Anak syarikatnya, NRSB, telah mengemukakan permohonan pindaan kebenaran merancang kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri pada 2 November 2026, selepas memperoleh kelulusan bagi pelan terdahulu pada 16 Jun 2025.

 

Had liabiliti AME Development

Dalam pemakluman sama, UEM Sunrise mendedahkan bahawa tanggungan AME Development di bawah perjanjian pengurusan projek dihadkan kepada 50% daripada fi pengurusan yang diterima, manakala tanggungan bagi perjanjian pengurusan pemasaran dihadkan kepada RM3 juta.

 

Lembaga pengarah kumpulan mengakui had tanggungan itu mungkin menyebabkan sebahagian kerugian tidak dapat dituntut semula sepenuhnya daripada AME Development, namun berpandangan pengaturan tersebut masih memberi manfaat kepada kumpulan selepas mengambil kira keseluruhan terma kerjasama dan perlindungan kontrak yang tersedia.

 

Sebagai latar belakang, UEM Sunrise pada 30 Oktober 2026 mengumumkan cadangan usaha sama dengan AME Development bagi membangunkan taman perindustrian bersepadu bernilai RM4 bilion di atas tanah seluas kira-kira 402.1 ekar di Gerbang Nusajaya, membabitkan cadangan penjualan tanah bernilai RM972.1 juta.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved