Sentral REIT catat hasil RM146.1 juta, sasar pengambilalihan hartanah baharu

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 2:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sentral REIT catat hasil RM146.1 juta, sasar pengambilalihan hartanah baharu Image from: Sentral REIT catat hasil RM146.1 juta, sasar pengambilalihan hartanah baharu sarah05/11/2026 - 14:43 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov - Sentral REIT mencatatkan hasil direalisasikan sebanyak RM146.1 juta bagi sembilan bulan pertama 2026, meningkat 3% berbanding tahun lalu, sambil meneroka pengambilalihan hartanah baharu bagi mempelbagaikan portfolionya melangkaui sektor pejabat.

 

Pengurusnya, Sentral REIT Management Sdn Bhd (SRM) berkata, strategi itu turut diperkukuh oleh sumbangan Arcoris Mont’ Kiara dalam usaha membina portfolio hartanah yang lebih seimbang dan berdaya tahan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SRM, Tay Hui Ling berkata, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk mempertimbangkan pengambilalihan terpilih yang berpotensi meningkatkan pendapatan serta menyokong pertumbuhan agihan kepada pemegang unit.

 

“Prestasi Sentral REIT bagi sembilan bulan pertama 2026 disokong oleh peningkatan kadar penghunian, kadar sewaan yang lebih baik dan pendapatan kewangan lebih tinggi, sekali gus mengimbangi peningkatan kos operasi hartanah,” katanya dalam kenyataan yang turut diumumkan kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026, hasil direalisasikan meningkat kepada RM146.1 juta berbanding RM141.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan bersih direalisasikan naik 0.5% kepada RM59.7 juta daripada RM59.4 juta.

 

Pada suku ketiga 2026, hasil direalisasikan meningkat 2.3% kepada RM48.7 juta, sementara pendapatan bersih direalisasikan bertambah 0.7% kepada RM19.8 juta, disokong prestasi Arcoris Mont’ Kiara.

 

Kadar penghunian portfolio pula meningkat bagi enam suku berturut-turut kepada 90% pada suku ketiga, berbanding 86% setahun sebelumnya. Sebanyak 84% daripada kira-kira 124,000 kaki persegi ruang yang tamat tempoh sewanya dalam sembilan bulan pertama turut berjaya diperbaharui.

 

Pengerusi SRM, Tan Sri Saw Choo Boon berkata, pencapaian kadar penghunian 90% mencerminkan daya tarikan bangunan berkualiti dengan akses perhubungan yang baik, manakala pelupusan Wisma Sentral Inai membantu mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan.

 

Setakat 30 September 2026, Sentral REIT memiliki aset keseluruhan bernilai RM2.6 bilion dengan nisbah hutang kepada aset sebanyak 45.2%, masih di bawah had kawal selia 50%, serta nisbah perlindungan faedah sebanyak 2.60 kali.

 

Portfolio Sentral REIT merangkumi 10 bangunan komersial dengan nilai penilaian RM2.4 bilion, terdiri daripada empat bangunan di Kuala Lumpur, empat di Cyberjaya serta masing-masing satu di Petaling Jaya dan Pulau Pinang.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved