Rossa libatkan bekas suami, sama-sama mengasuh anak angkat

Family & Parenting
2 Sep 2026 • 6:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rossa libatkan bekas suami, sama-sama mengasuh anak angkat

JAKARTA: Penyanyi terkenal Indonesia, Rossa, tidak mahu anak angkatnya, Raina Mikayla Almahyra, membesar tanpa kehadiran figura seorang bapa.

Justeru, penyanyi berusia 47 tahun itu mengambil keputusan untuk melibatkan bekas suaminya, Surendro Prasetyo atau lebih dikenali sebagai Yoyo Padi, dalam membesarkan anak angkatnya itu.

Menurut Rossa, Yoyo bersetuju untuk memainkan peranan tersebut malah mempunyai hubungan yang rapat serta menyayangi Raina.

“Saya tidak mahu dia membesar dengan perasaan seolah-olah tidak mempunyai bapa. Jadi, saya bergantung kepada Yoyo. Dia memang sangat menyayangi kanak-kanak,” katanya dalam podcast YouTube Iso-Late Show.

Pelantun lagu Terlalu Cinta itu turut mendedahkan bahawa bekas suaminya pernah datang ke rumah semata-mata untuk bertemu Raina.

“Yoyo sangat menyayangi adiknya juga. Kadang-kadang dia datang ke rumah. Rizki pula berada di Bandung dan ketika itu saya juga tiada di rumah. Dia memang datang khusus untuk bertemu adiknya,” katanya.

Rossa dan Yoyo mendirikan rumah tangga pada 18 Mac 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Rizky Langit Ramadhan, yang dilahirkan pada 3 Oktober 2006.

Bagaimanapun, perkahwinan mereka berakhir pada 14 Julai 2009.

Selepas berpisah secara rasmi, Rossa dan Yoyo dilaporkan tidak pernah berkahwin semula. Namun, kedua-duanya terus mengekalkan hubungan yang harmoni sebagai ibu bapa.

Hubungan baik itu jelas dapat dilihat menerusi kesepakatan mereka dalam mengamalkan konsep pengasuhan bersama atau co-parenting bagi Rizky dan Raina.

Rossa berkata, meskipun rumah tangga mereka tidak kekal, Yoyo tetap seorang lelaki yang bertanggungjawab terhadap keluarganya.

“Alhamdulillah, hubungan saya dan Yoyo sejak dahulu hingga sekarang tetap sebagai sebuah keluarga. Mungkin kami tidak ditakdirkan bersama dalam perkahwinan, tetapi apabila bercakap mengenai keluarga, dia adalah yang terbaik,” katanya.

Penyanyi itu berharap hubungan baik antara mereka akan terus berkekalan, termasuk sekiranya Yoyo menemui jodoh dan berkahwin semula pada masa depan.

“Saya juga berharap dapat menjalinkan hubungan baik dengan isterinya kelak. Sekiranya dia bertemu jodoh, mudah-mudahan kami dapat hidup dengan harmoni dan menjadi sebuah keluarga besar,” katanya.

Rossa mengumumkan pengambilan anak angkat perempuan berusia dua tahun, Raina, pada pertengahan tahun 2026. Bagaimanapun, penyanyi itu sebenarnya sudah menjaga kanak-kanak berkenaan sejak Raina berusia tiga bulan.

Keputusan untuk mengambil Raina sebagai anak angkat dibuat kerana Rossa sudah lama menyimpan hasrat untuk mempunyai seorang lagi anak. Malah, sebelum ini beliau pernah mempertimbangkan untuk berkahwin semula dan menjalani program persenyawaan in vitro (IVF).

Namun, kedua-dua perancangan itu tidak dapat direalisasikan atas beberapa faktor.

“Terus-terang, jika dibandingkan dengan keinginan untuk berkahwin semula, saya lebih lama menyimpan hasrat untuk mempunyai seorang lagi anak,” katanya.

Sehinggalah pada suatu hari, Rossa bertemu dengan Raina.

Sejak pertemuan pertama, penyanyi itu mengakui merasakan satu ikatan istimewa dengan kanak-kanak tersebut sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai anak angkat.

The post Rossa libatkan bekas suami, sama-sama mengasuh anak angkat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved