Bunuh anak: Bekas anggota tentera terlepas tali gantung

6 Aug 2026 • 4:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bunuh anak: Bekas anggota tentera terlepas tali gantung

PUTRAJAYA: Seorang bekas anggota tentera menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh anak perempuanya yang ketika kejadian berusia sembilan tahun.

Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan dan bersidang bersama-sama Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, sebulat suara mengekalkan sabitan salah namun tidak sepakat berhubung hukuman.

“Mahkamah mendapati tiada salah laksana keadilan (miscarriage of justice) dalam keputusan mahkamah terdahulu yang mensabitkan perayu bersalah. Oleh itu, sabitan dikekalkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saya bagaimanapun tidak bersetuju dengan kedua-dua hakim ini (Hakim Vazeer Alam dan Hakim Mohd Nazlan) kerana bagi saya, ini merupakan satu kes yang hukuman mati sepatutnya dikekalkan. Namun, kamu bernasib baik kerana majoriti panel dalam kes ini bersetuju hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara.

“Mereka berpendapat hukuman yang sesuai bagi kes ini ialah penjara 40 tahun dari tarikh tangkap (31 Januari 2018) serta 12 sebatan,” kata Hakim Nordin.

Bekas anggota tentera itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada Ogos 2023 atas kesalahan membunuh Nur Aina Nabihah di sebuah rumah di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan di antara pukul 8.30 dan 11.30 malam pada 31 Januari 2018.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah mengarahkan mangsa dan adik beradiknya yang lain untuk melakukan tekan tubi dan bangkit tubi sebanyak 500 kali kerana tidak solat.

Apabila mangsa terlalu lemah untuk meneruskannya, tertuduh telah bertindak memijak perut kanak-kanak malang itu dengan sebelah kaki.

Ketika disuruh bangun, mangsa gagal berbuat demikian menyebabkan tertuduh menjadi berang dan sekali lagi memijak perut anaknya itu.

Mohammad Abdullah juga telah menolak Nur Aina Nabihah dengan kakinya dan menendang kanak-kanak itu dengan kuat.

Terdahulu, peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Mohammad Abdullah berkata, sabitan salah itu tidak selamat untuk dikekalkan kerana Mahkamah Tinggi sebelum ini telah mengguna pakai keterangan saksi pendakwaan (SP) ke-18 iaitu abang si mati tanpa ujian kompetensi dijalankan dalam menentukan tahap kompetensi saksi itu.

“Dalam kes ini, anak guam telah membawa anaknya itu (mangsa) ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Saya juga memohon agar anak guam diberikan peluang kedua,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, SP18 yang berusia 15 tahun semasa memberi keterangan faham soalan yang ditanya semasa perbicaraan.

Menurut Wan Shaharuddin, SP18 dalam keterangan memberitahu, beliau dan arwah adiknya dihukum oleh bapa mereka kerana tidak solat dan tertuduh menyuruh mereka membuat tekan tubi dan bangkit tubi sebanyak 500 kali.

“Apabila mangsa tidak larat berbuat demikian, mangsa diterajang dan dipijak perut oleh tertuduh sehingga menyebabkan pankreasnya terbelah. Tulang rusuk si mati juga patah dan ada kesan cekikan pada leher dan hentakan di kepala.

“Penderaan telah berlaku dalam kes ini dan terdapat 23 kecederaan luka luaran pada jasad mangsa. Perayu tidak layak diberikan peluang kedua,” katanya yang memaklumkan perayu tidak pernah menunjukkan penyesalan.

Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding, Wan Shaharuddin berkata, pihaknya menerima keputusan mahkamah.

“Saya bersyukur mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun. Dalam tempoh menjalani hukuman itu, dia (perayu) perlu memikirkan apa yang telah dia lakukan terhadap anaknya. Itu lebih teruk daripada hukuman mati,” katanya.-UTUSAN

The post Bunuh anak: Bekas anggota tentera terlepas tali gantung appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved