
LONDON – Taktik licik satu sindiket dadah menggunakan ketulan keju untuk menyeludup masuk kokain bernilai £450 juta (kira-kira RM2.4 bilion) ke United Kingdom (UK) akhirnya terbongkar, lapor saluran berita The Sun UK.
Susulan pembongkaran itu, seramai tujuh anggota kumpulan berkenaan dijatuhi hukuman penjara minggu ini selepas didapati bersalah menyembunyikan dadah Kelas A seberat 4.5 tan.
Secara keseluruhan, seramai 18 individu telah disabitkan kesalahan atas tuduhan bersekongkol mengedar bahan terlarang tersebut selepas melalui dua sesi perbicaraan dan siasatan berskala besar oleh pihak berkuasa.
Pada Jumaat, tiga daripada mereka dijatuhi hukuman di Mahkamah Leeds Crown, manakala empat lagi telah dihantar ke penjara pada awal minggu ini.
Modus operandi sindiket terbabit terbongkar apabila polis mendapati mereka menyembunyikan bekalan dadah di dalam palet keju yang dibalut plastik mampat sebelum diangkut sebagai kargo komersial menerusi pelabuhan Dover.
Siasatan Polis West Yorkshire bermula selepas menahan sebuah kereta mencurigakan di Leeds pada Januari 2023 yang membawa kepada rampasan kokain dan pil ekstasi bernilai £2 juta (RM10 juta).
Penahanan itu membuka laluan kepada penemuan rangkaian pengedaran berskala canggih yang membekalkan dadah dalam kuantiti luar biasa di seluruh utara England. – AGENSI
The post Seludup RM2.4 bilion kokain dalam ketulan keju appeared first on Kosmo Online.





