Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengumumkan bahawa saluran TV6 akan menamatkan siarannya bermula 1 Julai 2026 iaitu esok. Notis rasmi mengenai perkara tersebut telah dikeluarkan melalui laman Facebook RTM pada hari ini. Walau bagaimanapun, pihak RTM masih belum memberikan penjelasan lanjut berhubung sebab penamatan siaran berkenaan

Penamatan TV6 ini menimbulkan perhatian kerana sebelum ini RTM turut mengumumkan kerjasama dengan pihak Astro bagi memperkenalkan saluran baharu. Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada langkah menghentikan TV6 mempunyai kaitan dengan strategi penstrukturan semula kandungan yang sedang dijalankan oleh RTM ataupun sebaliknya.
Sebagai rujukan, TV6 ialah saluran berkonsepkan retro yang mula bersiaran percubaan pada 1 Mac 2021. Ia menayangkan kandungan daripada arkib RTM seperti drama, filem, rancangan hiburan, dokumentari dan program klasik. Sepanjang tempoh operasinya, TV6 boleh ditonton melalui saluran MYTV 113 dan platform RTMKlik.





