
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya tidak menjadikan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Perdana Menteri, apa yang dibangkitkan oleh Onn Hafiz tidak betul dan telah dijelaskan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Malah katanya, ia adalah projek Kerajaan Persekutuan dan tentunya dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Soal mengumumkan dan menandatangani itu soal Perdana Menteri Malaysia dengan Perdana Menteri Singapura.
“Jadi tak payah jadikan ini isu. Isu ni projek pelaksanaan berjalan. Belanja tinggi. Kebanyakan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan itu ada.
“Sudahlah tidak terima kasih. Dia guna masa kempen ini untuk mencela…tak cerdik,’’ katanya.
Anwar berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena di sini hari ini.
Pada Khamis, Onn Hafiz menerusi hantaran di Facebook berkata, Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah siap dan sepatutnya diumumkan segera bagi memastikan momentum baik ekonomi Johor dapat diteruskan.
Menurut, pelan tersebut pada asalnya disasarkan untuk diumumkan pada penghujung tahun lalu namun ditukar kepada 30 Mac 2026 dan kini dikatakan ditangguhkan sekali lagi.
“Pelan induk tidak perlu tunggu sehingga leaders retreat akhir tahun ini untuk dilancarkan kerana ia tidak perlu mendapat persetujuan dari kerajaan Singapura. Malah agensi berkenaan dari Singapura, Malaysia dan Johor telah pun memberi input dan maklum balas mereka.
“Perkara ini tidak sepatutnya terus dilengahkan. Ia melibatkan kepastian kepada pelabur, hala tuju sektor, zon pelaburan, insentif, infrastruktur, pembangunan bakat dan penyelarasan antara agensi,’’ katanya. - 3 Julai, 2026
The post ‘Sudahlah tidak terima kasih, dia guna masa kempen untuk mencela,’ : Anwar appeared first on Scoop.






