
SEREMBAN: Rukun Negara perlu terus dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan bermasyarakat serta bernegara bagi memastikan setiap tindakan dan keputusan menghormati peraturan ditetapkan.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, pegangan teguh terhadap agama serta penghormatan terhadap adat perlu terus diperkukuh sebagai asas pembentukan peribadi, akhlak dan peradaban masyarakat.
“Prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-Undang amat penting dalam memastikan setiap tindakan, keputusan dan tanggungjawab dilaksanakan berlandaskan peraturan yang ditetapkan serta sentiasa menghormati Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.
“Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan pula menekankan kepentingan setiap individu memelihara adab serta mengamalkan sikap sopan santun dalam tingkah laku dan percakapan seharian,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Padang Majlis Bandaraya Seremban hari ini.
Tuanku Muhriz turut mengingatkan pemimpin dan rakyat di negeri ini supaya memperkukuh tali persaudaraan serta menyemai budaya saling menghormati tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.
“Sebarang permasalahan wajar diurus dengan penuh hikmah dan toleransi manakala perpaduan serta keharmonian harus sentiasa didahulukan agar negeri ini terus dilimpahi keamanan dan kemakmuran,” titah baginda.
Baginda turut bertitah, kemajuan hakiki bukan sahaja diukur melalui pencapaian ekonomi dan pembangunan, malah turut dilihat menerusi keupayaan masyarakat memelihara nilai, warisan dan jati diri sebagai pusaka untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, penyatuan ummah bukan sekadar slogan sebaliknya merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang kukuh, harmoni dan berdaya tahan berlandaskan ilmu, tamadun serta nilai Islam.
Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab melakar hala tuju yang mampu membentuk masyarakat Negeri Sembilan yang kental, berilmu, berakhlak dan bersedia menghadapi perubahan zaman.
“Namun, pembangunan ummah tidak boleh hanya diserahkan kepada kerajaan, sebaliknya menuntut kerjasama segenap lapisan masyarakat dan semua pihak.
“Sokongan terhadap agenda membangunkan ummah mesti dilakukan dengan penuh keikhlasan, tanpa memanipulasi agama atau menjadikannya alat perpecahan.
“Prinsip agama mesti terus menjadi tunjang, manakala kemajuan dan keterbukaan hendaklah dipandu oleh nilai, ilmu dan tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, perarakan Maulidur Rasul yang melibatkan 74 kontinjen dan kira-kira 4,000 peserta itu terpaksa dibatalkan susulan hujan lebat. – UTUSAN
The post Rukun Negara perlu dihayati sebagai pedoman hidup – Tuanku Muhriz appeared first on Utusan Malaysia.






