
SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, penghormatan terhadap adat perlu terus diperkukuh sebagai asas penting dalam membentuk peribadi, akhlak dan peradaban masyarakat.
Baginda bertitah, selain itu pegangan terhadap agama juga perlu diberi perhatian.
“Beta menegaskan bahawa pegangan terhadap agama dan penghormatan terhadap adat perlu terus diperkukuh kerana kedua-duanya merupakan asas penting dalam membentuk peribadi, akhlak dan peradaban masyarakat.
“Sehubungan ini, Beta mengingatkan agar Rukun Negara difahami, sentiasa dihayati dan dijadikan pedoman dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.
Tuanku Muhriz turut menyeru pemimpin dan rakyat di negeri ini supaya memperkukuhkan tali persaudaraan serta menyemai budaya saling menghormati tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.
Menurut baginda, sebarang permasalahan perlu diurus dengan penuh hikmah dan toleransi, manakala perpaduan serta keharmonian hendaklah sentiasa didahulukan bagi memastikan Negeri Sembilan terus dilimpahi keamanan dan kemakmuran. – KOSMO! ONLINE
The post Penghormatan terhadap adat perlu terus diperkukuh – Tuanku Muhriz appeared first on Kosmo Digital.






