
SANDAKAN: Sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal yang turut menempatkan bengkel membaiki kereta di tingkat bawah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Taman Fuliwah, Batu 3.5 awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pada jam 4.42 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan struktur berkeluasan kira-kira 50x50 kaki dan api telah memusnahkan 100 peratus premis tersebut.
“Dua buah kenderaan iaitu Proton Iswara dan Perodua Bezza yang diparkir berdekatan rumah berkenaan turut terjejas terkena bahang,” katanya.
Mengulas lanjut operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dan tiga pancutan dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba serta lori tangki air .
Menurutnya api berjaya dikawal pada jam 5.02 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.09 pagi.
Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini manakala punca kebakaran dan kos kerugian masih dalam siasatan.
