Rumah dah siap, jalan masuk pula tiada

31 Oct 2026 • 9:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rumah dah siap, jalan masuk pula tiada

TAMPIN – Enam beradik menangguhkan hasrat menduduki rumah mereka yang dibina menerusi program Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) apabila jalan kebun sepanjang 1.8 kilometer (km) ke kawasan kediaman itu di Kampung Ulu Rokan, Tampin dipenuhi pokok dan semak samun.

Laluan itu bukan sahaja me­nyukarkan perjalanan hingga boleh menyebabkan kenderaan rosak, malah mengundang bahaya kepada mereka sekiranya mahu berulang-alik jika ada urusan di tempat lain.

Wakil keluarga, Noor Zuurenn Mohd Fadzil, 41, berkata, mereka menunggu hampir lima tahun untuk tinggal di rumah sendiri selepas permohonan pembinaan rumah itu diluluskan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 2021.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan rumah di atas tanah keluarga seluas kira-kira 1.025 hektar itu bermula penghujung 2023.

Katanya, hasrat membina rumah itu didorong permintaan arwah ibu mereka yang mahu anak-anaknya mempunyai kediaman sendiri sebelum meninggal dunia.

“Arwah mak memang suruh kami buat rumah di sini. Kebetulan kami enam beradik memohon rumah SPNB dan antara syaratnya perlu mempunyai ta­nah sendiri.

“Kami sangat berharap dapat tinggal di rumah ini. Kalau boleh, kami nak beraya tahun depan di rumah ini,” katanya.

Menurut Noor Zuurenn, bapanya yang semakin berusia mempunyai masalah kesihatan termasuk penyakit jantung dan paru-paru berair, sekali gus membuatkan mereka berharap urusan untuk tinggal di rumah sendiri dipermudahkan.

“Kami merayu supaya jalan sepanjang 1.8 kilometer ini diberi perhatian dan dibaiki serta di­bersihkan supaya lebih selamat untuk dilalui,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah itu dan peruntukan bagi penyediaan kemudahan infrastruktur kepada enam rumah terbabit telah diluluskan awal tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi Negeri Sembilan itu tertangguh kerana tidak mendapat kebenaran daripada pemilik 11 tanah persendirian yang terlibat de­ngan laluan paip berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap perancangan asal bagi menyediakan kemudahan infrastruktur bagi enam kediaman terbabit dapat disegerakan.

The post Rumah dah siap, jalan masuk pula tiada appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved