
KUALA LUMPUR – Tular satu perkongsian di media sosial mengenai keadaan sebuah rumah sewa yang didakwa rosak teruk serta mempunyai tunggakan bil yang tinggi, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Threads dikenali sebagai @lilostarx7, pemilik rumah mendakwa kediaman tersebut pada asalnya didiami oleh sebuah keluarga sebelum berlaku perceraian.
Menurutnya, selepas perpisahan itu, hanya anak perempuan keluarga berkenaan yang berusia 22 tahun terus menetap di rumah tersebut.
“Sepanjang dia duduk di situ, kami tidak pernah pergi menjenguk atau bertanya mengenai bil dan penyelenggaraan kerana kami beri kepercayaan penuh,” katanya.
Aduan Makin Banyak, Tunggakan Semakin Tinggi
Bagaimanapun, situasi mula berubah apabila pemilik mendakwa menerima pelbagai aduan daripada orang ramai mengenai keadaan rumah berkenaan.
Tambahnya, walaupun wanita tersebut dilihat berpenampilan kemas dan bekerja sebagai pegawai sumber manusia, dia dikatakan gagal menjelaskan bayaran asas termasuk yuran penyelenggaraan bulanan.
“Hairan juga, maintenance RM50 sahaja tetapi tertunggak lebih RM1,000,” ujarnya.
Malah, keadaan rumah yang didakwa rosak teruk turut menyebabkan ibunya berasa sedih sehingga menangis.
“Rumah yang kami jaga dengan baik kini hancur di tangan penyewa yang tiada common sense,” katanya lagi.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata meluahkan rasa simpati serta berkongsi pengalaman masing-masing berdepan isu penyewa bermasalah.
Ada yang menyatakan pengalaman menjaga rumah sewa seperti harta sendiri, manakala segelintir lain mengakui trauma untuk menyewakan rumah selepas melihat situasi tersebut.
Tidak kurang juga yang mengaitkan isu kebersihan dan sikap individu dengan faktor didikan serta kemungkinan masalah emosi.
Sehingga kini, perkongsian tersebut terus mendapat perhatian ramai di media sosial. – The Malaysian Update
The post Rumah Disewa Rosak Teruk, Tuan Rumah Dakwa Penyewa Wanita Gagal Bayar Bil Lebih RM1,000 appeared first on The Malaysian Update.





