Anekdot Mawarith27/05/2026 - 07:00 Gambar di atas dijana secara Kecerdasan Buatan (AI) bagi mengiringi artikel ini - Editor Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com Sudah 28 tahun berada dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka orang Islam membantu saya mengenal pasti beberapa ‘trend’ dalam kalangan orang Islam apabila melibatkan isu harta pusaka.
Antara ‘trend’ paling ketara ialah hasrat pemilik harta dan waris untuk memulihara rumah pusaka.
Ramai pemilik harta dan waris berkata mereka mahu rumah pusaka itu dipulihara, dijaga dengan baik dan dikekalkan dalam keluarga supaya waris pada masa hadapan mempunyai tempat untuk berkumpul, bersolat bersama, bertahlil untuk ibu bapa yang telah meninggal dunia, bersilaturrahim, serta bernostalgia terhadap kenangan membesar dan berkasih sayang dalam rumah itu.
Hasrat itu sememangnya baik dan murni. Saya faham rumah pusaka ialah tempat di mana kita dilahirkan dan dibesarkan bersama adik-beradik, yang mengikat perasaan sentimental yang sangat kuat.
Kita akan terbayang saat kita tidur bersama adik-beradik dalam bilik, saat ibu memasak dan menyuapkan kita di dapur, serta saat ayah mengimamkan solat jemaah keluarga di tengah rumah.
Semua kenangan itu pasti menggamit perasaan dan membawa kita kepada permuafakatan untuk mengekalkan rumah pusaka itu dalam kawalan ahli keluarga sendiri. Namun, itu semua hanyalah sentimen perasaan sahaja. Sekarang mari kita lihat kepada realiti sebenar.
Realiti yang ramai orang Islam tidak nampak.
Realiti sebenar ialah rumah pusaka dalam banyak keadaan memerlukan kos yang besar untuk dipulihara. Ia sering sudah usang dan rosak dimakan usia. Bumbung mula bocor, lantai dan dinding mula mereput atau diselaputi lumut. Semak di sekeliling rumah pula semakin meninggi.
Untuk memulihara semula rumah pusaka dalam keadaan seperti ini boleh memakan kos puluhan, malah kadangkala ratusan ribu ringgit. Ramai waris sebenarnya sudah memiliki rumah sendiri di tempat lain dan tidak lagi menetap di rumah pusaka itu. Jadi siapakah yang sanggup mengeluarkan kos tinggi untuk memulihara rumah yang tidak didiami?
Sekiranya ada seorang waris yang tinggal di rumah itu selepas kematian ibu bapa, mungkin waris berkenaan akan menjaga keadaan fizikal rumah dengan baik. Namun isu kos tetap akan timbul. Adakah waris yang menetap di rumah itu perlu menanggung kos pemuliharaan seorang diri, sedangkan waris lain hanya mahukan nilai sentimentalnya dipelihara?
Isu pemilikan rumah pusaka
Isu siapa yang perlu menanggung kos pemuliharaan rumah pusaka sebenarnya berkait rapat dengan persoalan siapa pemilik sebenar rumah itu selepas kematian ibu bapa. Secara prinsipnya, semua harta pusaka adalah milik waris mengikut hukum faraid. Ini jelas dan tidak perlu dipertikaikan.
Pengalaman 28 tahun saya menunjukkan bahawa bagi harta pusaka lain, waris boleh bermuafakat dari segi pembahagian atau pengurusan. Namun bagi rumah pusaka yang sarat dengan nilai emosi, kebanyakan waris cenderung memilih untuk mengekalkannya sebagai milik bersama.
Alasannya, waris bimbang jika rumah itu hanya diturunkan kepada seorang sahaja, ada kemungkinan ia akan dijual kepada pihak ketiga pada masa hadapan. Mereka juga bimbang jika dimiliki seorang waris sahaja, selepas kematiannya nanti, sebahagian hak faraid akan berpindah kepada pasangannya.
Jika ini berlaku, waris lain mungkin ‘kehilangan’ rumah pusaka tersebut kerana pasangan kepada waris berkenaan sering dianggap sebagai pihak luar selepas kematian.
Apakah jalan penyelesaiannya?
Apabila isu rumah pusaka dibangkitkan, saya sering ditanya apakah penyelesaiannya. Terdapat beberapa kaedah, namun tiada satu pun yang sempurna atau menyelesaikan semua keadaan. Setiap pilihan mempunyai pro dan kontra.
Penyelesaian pertama ialah waris bermuafakat supaya rumah itu diturunkan kepada seorang waris sahaja. Waris tersebut perlu mempunyai kapasiti kewangan untuk menanggung kos pemuliharaan. Lebih baik jika dia bersetuju untuk membeli bahagian waris lain pada harga yang dipersetujui bersama.
Waris lain boleh berbincang secara harmoni supaya dia menjaga rumah pusaka dengan baik, serta membuka ruang untuk perjumpaan keluarga seperti solat berjemaah, tahlil dan silaturrahim. Dengan cara ini, nilai sentimental masih dapat dikekalkan dan rumah berada dalam keadaan terjaga.
Namun semua waris perlu faham bahawa apabila pilihan ini dibuat, rumah tersebut secara teknikalnya bukan lagi milik bersama, tetapi milik seorang waris sahaja.
Apa juga keputusan yang dibuat oleh pemilik rumah itu, dan selepas kematiannya, keputusan yang dibuat oleh pasangan serta anak-anaknya mengikut hukum faraid, waris lain tidak boleh mempertikaikannya kerana rumah itu adalah hak mereka.
Penyelesaian kedua ialah rumah pusaka diturunkan kepada semua waris sama ada mengikut faraid atau secara takharuj secara sama rata. Kaedah ini memastikan rumah tidak dijual kepada pihak ketiga atau dikuasai oleh seorang waris sahaja.
Namun, tanggungjawab pemuliharaan dan kos akan ditanggung bersama oleh semua waris yang namanya tertera pada geran tanah. Pengalaman menunjukkan bahawa walaupun konsepnya ideal, realitinya sukar kerana waris sering gagal mencapai kata sepakat dari segi kewangan.
Ada waris yang mampu dan bersedia membayar, namun ramai juga yang kurang berkemampuan. Perbalahan mengenai kos boleh berlaku, dan akhirnya rumah dibiarkan usang serta hubungan keluarga turut terjejas. Jika ini berlaku, mampukah waris berkumpul untuk bertahlil dan mendoakan ibu bapa mereka seperti yang diharapkan?
Penyelesaian ketiga ialah waris bermuafakat untuk menjual rumah pusaka tersebut. Hasil jualan diagihkan mengikut hak masing-masing. Untuk perjumpaan keluarga, mereka boleh menyewa homestay atau hotel.
Ya, nilai sentimental terhadap rumah pusaka mungkin hilang, tetapi hubungan silaturrahim berpotensi lebih terpelihara dalam jangka panjang.
Persimpangan dilema
Saya juga pemilik rumah. Saya pernah mempunyai perasaan bahawa apabila saya meninggal dunia, saya mahu anak cucu berkumpul di rumah saya untuk mendoakan saya dan isteri.
Namun selepas melalui pengalaman mengurus harta pusaka dan melihat situasi sebenar, saya sedar bahawa saya tidak realistik.
Anak-anak akan mempunyai perancangan hidup mereka sendiri. Masa depan hari ini sangat tidak menentu kerana perubahan landskap sosioekonomi. Jadi apa yang saya lakukan?
Saya menghibahkan rumah itu kepada anak-anak saya. Sekiranya mereka ingin menjualnya selepas kematian saya, itu pilihan mereka. Saya nyatakan secara jelas supaya mereka tidak terbeban.
Saya telah memberikan ‘modal’ melalui rumah itu untuk mereka meneruskan kehidupan selepas saya tiada. Apa yang paling saya utamakan ialah harta pusaka yang ditinggalkan tidak menjadi fitnah atau punca hubungan anak-anak saya terjejas pada masa hadapan.
Mereka boleh berkumpul di mana-mana lokasi di seluruh dunia untuk mendoakan saya, tidak semestinya di rumah pusaka. Saya berharap lebih ramai ibu bapa mempunyai pemikiran realistik seperti ini. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH





![Diet Tapi Nak Makan Dessert? Doktor Kongsikan Resepi Buat Kek Sihat & Mudah [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/Kek-coklat-sihat-dan-sedap-800x467.jpg?t=1778576193)

