‘Rumah rasa bergoyang, terdengar bunyi dentuman kuat’

LocalEnvironment
22 Sep 2026 • 6:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Rumah rasa bergoyang, terdengar bunyi dentuman kuat’
Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup ketika gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 melanda Perairan Batu Pahat pada Selasa. Gambar kecil: Raja Fatimah dan Sa’diah.

BATU PAHAT - “Rumah rasa bergoyang-goyang dan kemudian terdengar bunyi dentuman kuat.”

Demikian pengalaman penduduk Tongkang Pechah, Raja Fatimah Raja Rahim, 36, ketika merasai gegaran gempa bumi bermagnitud 4.4 yang melanda Perairan Batu Pahat pada jam 4.55 petang Selasa.

Menurutnya, kejadian ketika sedang berehat di rumah itu mengejutkannya kerana pertama kali merasai gegaran berkenaan.

“Ini pengalaman pertama saya rasa gegaran walaupun sebelum ini gempa bumi pernah dilaporkan berlaku di kawasan ini.

“Anak-anak saya yang berada di sekolah juga dibenarkan pulang lebih awal sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 melanda Perairan Batu Pahat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km) dengan gegaran turut dirasai di Batu Pahat dan kawasan sekitarnya.

Seorang lagi penduduk, Sa’diah Markom, 53, dari Kampung Sri Medan berkata, gegaran yang dirasainya hanya berlaku beberapa saat, namun cukup membuatkannya terkejut.

Menurutnya, dia tidak mengalami pening atau hilang keseimbangan ketika kejadian, sebaliknya bimbang kerana tidak pernah berdepan situasi sedemikian sebelum ini.

“Saya tak rasa pening atau terhoyong-hayang tapi memang terkejut sebab tak pernah rasa gegaran gempa bumi.

“Walaupun tak seteruk kejadian gempa bumi di luar negara, situasi ini tetap membimbangkan. Bagi saya, ini seperti satu ujian atau peringatan untuk kita semua,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved