'Sofa bergoyang, televisyen bergerak' - Orang ramai kongsi detik cemas gempa bumi

LocalEnvironment
22 Sep 2026 • 6:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Sofa bergoyang, televisyen bergerak' - Orang ramai kongsi detik cemas gempa bumi
Laporan Sinar Harian mengenai kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 di Perairan Batu Pahat pada petang Selasa.

SHAH ALAM - Orang ramai di beberapa kawasan sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Melaka berkongsi pengalaman merasai gegaran susulan berlaku gempa bumi petang ini.

Menerusi perkongsian di media sosial, gegaran dilaporkan berlaku sekitar jam 4.50 hingga 4.57 petang dan dirasai selama beberapa saat.

Seorang pengguna Thread, Fatihahazanan92 berkata, dia terkejut apabila merasai gegaran namun tiada sebarang amaran yang diberikan.

"Itulah terkejut ingat apa benda, kuat tapi tiada terima 'alarm' gempa bumi berdekatan pun," katanya.

Sebelum ini, gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 direkodkan di Perairan Batu Pahat di sini jam 4.55 petang pada Selasa.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 10 kilometer.

Menurut MetMalaysia, pusat gempa terletak pada koordinat 1.7 darjah Utara dan 102.7 darjah Timur, kira-kira 27 kilometer barat daya dari Batu Pahat, Johor.

Gegaran akibat gempa itu dilaporkan dirasai di Batu Pahat dan kawasan sekitar.

Sementara itu, pengguna Threads syahatulmohdtaha berkongsi pengalaman seolah-olah ditolak ketika sedang duduk di sofa.

"Rasa macam ada gempa bumi, tengah duduk di sofa macam ada orang tolak.

"Televisyen dekat kabinet pun bergerak dalam dua saat. ALLAH jauhkan lah bencana teruk di kawasan Kuala Lumpur," ujarnya.

Nursabrina. hamdan pula mendakwa merasai pergerakan beberapa saat pada jam 4.57 petang.

"Gempa bumi ke? Rasa kiri kanan sekejap beberapa saat, kawasan Puchong Utama," kongsinya.

Di Muar, pengguna Threads Jengkolubi88 turut mempersoalkan sama ada berlaku gempa bumi selepas merasai gegaran sekitar jam 4.55 petang.

"Ada gempa bumi ke? Jam 4. 55 petang tadi ada gegaran kat muar ini, rasa tak? soalnya.

Seorang lagi pengguna, rozymsaleh berkata, gegaran dirasainya ketika berada di Tanjung Minyak, Melaka antara jam 4.50 hingga 4.55 petang.

'Tengah lepak kat sofa tiba-tiba rasa gegaran tetapi sekejap sahaja. Ada gempa bumi kat mana-mana ke?

"Nak kata jet lalu tiada pula," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved