Rumah Tangga 17 Tahun Berakhir, Madam Mariyah Reda Walau Disakiti

3 Oct 2025 • 2:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Selepas hampir dua dekad mengharungi suka duka perkahwinan, usahawan yang dikenali ramai, Madam Mariyah akhirnya akur apabila ikatan rumah tangga bersama suami, Mr. S, terlerai dengan lafaz talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru pada 30 September lalu.

Bagi Mariyah atau nama sebenarnya Mariyah Yaakob, 50, keputusan ini bukan sesuatu yang mudah, namun dia terpaksa menerima hakikat bahawa rumah tangganya sudah tidak mampu dipertahankan lagi.

image is not available

“Semalam (30 September), secara rasmi saya disahkan bercerai talak satu. Saya hadir ditemani peguam dan pembantu peribadi sahaja, tetapi bekas suami datang bersama pengawal peribadi, ahli keluarga dan rakan-rakan seramai lapan orang,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di sebuah kafe di Bukit Bintang, dua hari lalu.

Luka Disebabkan Orang Ketiga

Dengan nada sebak, Mariyah mendedahkan bahawa kehadiran orang ketiga menjadi punca utama keretakan rumah tangga mereka. 

Lebih menyayat hati, dia mendakwa pernah melihat sendiri suaminya bersama wanita berkenaan.

“Saya nampak dengan mata kepala sendiri. Dia bukan sahaja tidak menafikan, malah mengaku di hadapan saya bahawa dia menyayangi perempuan itu. Saya masih ingat hari di mana saya terserempak dengan mereka yang sedang berdua-duaan di dalam kereta. Saya cuba dapatkan penjelasan, tetapi akhirnya saya yang dikasari hingga terjatuh dan kepala saya berdarah. Saat itu, hati saya benar-benar hancur,” ujarnya.

Tidak Lagi Pulang Ke Rumah

Menurut Mariyah, sejak enam bulan lalu, Mr. S tidak lagi pulang ke rumah. Dia memilih untuk tidak menghubungi suaminya, sebaliknya menunggu dan melihat sama ada lelaki itu akan kembali dengan sendirinya.

“Dia sendiri yang keluar dari rumah. Bukan saya yang menghalau. Hati seorang isteri tentu berharap suami kembali, tetapi saya sedar segalanya berubah sejak hadirnya orang ketiga,” katanya lagi.

image is not available

Dalam prosiding penceraian, Mariyah turut menuntut hak penjagaan anak, nafkah edah dan mutaah. Namun, bekas suaminya menolak kesemua tuntutan itu dan meminta ia difailkan secara berasingan.

Ini bukan kali pertama perkahwinan pasangan ini menjadi perhatian umum. 

Sebelum ini, Mr. S pernah mencetuskan kontroversi apabila melafazkan talak kepada Mariyah secara terbuka di media sosial melalui siaran langsung, malah lafaz tersebut ditaip di ruangan komen dan disaksikan lebih 200 penonton.

“Saya Hanya Mahu Dihargai”

Mengakhiri perkongsiannya, Mariyah menegaskan bahawa dia tidak pernah mengharapkan kemewahan atau harta daripada bekas suami. Apa yang diinginkan hanyalah kasih sayang dan penghargaan sebagai seorang isteri.

“Saya tidak pernah minta duit. Saya hanya mahu dihargai dan disayangi. Jika seorang suami benar-benar baik, dia akan pertahankan rumah tangganya. Tetapi, andai jodoh sudah sampai ke penghujung, saya reda,” ujar Mariyah. - Getaran, 3 Oktober 2025