
“SAYA tidak menyesal menceraikannya. Tetapi yang dikesalkan adalah terlalu lama percaya kepada orang yang akhirnya menghancurkan rumah tangga sendiri.”
Itu luahan Rizal (bukan nama sebenar) selepas hampir 15 tahun mempertahankan perkahwinannya dengan bekas isteri.
Bagi lelaki kelahiran Melaka itu, perceraian bukan keputusan yang dibuat kerana marah atau terbawa-bawa emosi, sebaliknya selepas kepercayaannya sebagai suami berkali-kali dikhianati.
Paling memilukan, dia tidak pernah mengesyaki apa-apa apabila isterinya kerap menemui seorang bomoh kampung setiap kali berdepan masalah.
“Sakit sedikit, bomoh dicari. Perniagaan tidak menjadi, bomoh ditemui. Ada masalah keluarga, bomoh juga menjadi tempat dia mengadu,” ujarnya kepada K-Wanita.
Lelaki berusia 45 tahun itu mengakui, dia membiar dan membenarkan isterinya berjumpa bomoh berkenaan kerana menganggap ia sebahagian daripada ikhtiar.
“Saya bodoh kerana fikir dia percaya bomoh itu sebab mahu cari jalan untuk selesaikan masalah. Saya tidak pernah sangka lelaki itu akhirnya menjadi orang ‘ketiga’ dalam hubungan rumah tangga kami,” katanya dalam nada kesal.
Selama bertahun-tahun, Rizal menjalani kehidupan sebagai suami dan bapa tanpa mengetahui isterinya menyimpan satu ‘rahsia’ yang akhirnya mengubah seluruh erti kepada perkahwinan mereka.
Hubungan Maya (bukan nama sebenar) dengan bomoh berkenaan rupa-rupanya sudah lama terjalin, dan dilakukan secara suka sama suka.
Apabila perkara terkutuk itu dibongkar oleh anak bomoh berkenaan, segala alasan yang pernah diberikan isterinya untuk bertemu lelaki tua tersebut kembali bermain dalam fikiran Rizal.
Perkara paling meremukkan hati Rizal bukan kerana isterinya mempunyai lelaki lain. Sebaliknya, dia terluka kerana ketika dirinya sibuk bekerja, menjaga keluarga dan mempercayai isterinya sepenuh hati, wanita itu memilih untuk memberi kepercayaan dan kasih sayang kepada orang lain.
“Saya rasa seperti dikhianati sebagai suami. Saya ada ketika dia susah, saya cuba selesaikan masalah keluarga, tetapi akhirnya orang lain yang menjadi tempat dia bergantung,” katanya.
Rizal mengakui, perceraian mereka telah meninggalkan kesan, lebih-lebih lagi selepas sedekad setengah hidup bersama dan dikurniakan empat cahaya mata.
Baginya, cinta tanpa kejujuran hanya akan memanjangkan penderitaan, manakala kepercayaan yang sudah musnah bukan mudah untuk dibina semula.
“Saya sedih kehilangan sebuah keluarga yang dibina bertahun-tahun. Susah senang kami bersama. Tetapi saya tidak menyesal memilih untuk pergi. Saya mahu hidup dengan hati yang tenang, bukan saban hari tertanya-tanya apa yang berlaku di belakang saya,” ujarnya.
Kini, Rizal hanya mahu meneruskan kehidupan demi anak-anak dan belajar menerima hakikat bahawa tidak semua perkahwinan yang bertahan lama ditakdirkan untuk kekal hingga ke penghujung usia.
Rizal percaya, sampai masanya, dia perlu melepaskan isterinya pergi. Bukan bererti dia sudah tidak sayang, sebaliknya, itu satu-satunya cara untuk mengubat hati yang telah lama terluka.
The post Rumah tangga musnah angkara bomoh tua appeared first on Kosmo Digital.




