
TAWAU: Seekor buaya tembaga jantan sepanjang 8 kaki 2 inci yang menimbulkan kebimbangan penduduk kampung ditembak mati dalam operasi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau berhampiran Tapak Tamu Desa Kampung Budaya Pasir Putih, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi Rabu.
Mengikut laporan operasi daripada Pejabat JHL Tawau, buaya tembaga seberat 85kg terbabit didapati terjerat pada salah satu mata kail yang dipasang di kawasan berkenaan, sebelum reptilia itu dibawa keluar untuk pelupusan.
Kejayaan itu susulan langkah pemasangan jerat sejak 21 Sept sebaik JHL menerima aduan daripada Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal.
Pihak JHL kemudiannya memasang dua unit pancing iaitu di kawasan paya berhampiran Tapak Tamu Desa Kampung Budaya Pasir Putih dan di Jeti Lorong 7A Mawar, dengan penukaran umpan dilakukan selang setiap tiga hari sebagai langkah mitigasi menangkap reptilia terbabit.
Daily Express dimaklumkan oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Pasir Putih / Kampung Budaya Pasir Putih bahawa aduan itu dibuat berikutan kebimbangan penduduk apabila buaya tembaga terbabit sering dilihat berada di kawasan kampung.
JKKK berterima kasih atas tindakan pantas JHL, termasuk golongan belia yang memberikan kerjasama dan komitmen dalam menangani ancaman buaya yang timbul demi memastikan keselamatan penduduk kampung sentiasa terjaga.
Bagaimanapun, pihak JKKK menasihatkan penduduk kampung supaya sentiasa berwaspada khususnya apabila melakukan aktiviti di kawasan paya, sungai, parit, jeti dan kawasan berhampiran laut khususnya ketika fenomena air pasang berlaku.
Penduduk kampung turut diingatkan supaya tidak menghampiri, mengganggu atau cuba menangkap dengan bertindak sendiri sekiranya melihat kehadiran buaya, sebaliknya segera memaklumkan pihak JKKK atau berhubung langsung dengan JHL untuk tindakan selanjutnya.





