MELAKA - Pakatan Harapan (PH) Melaka tetap meneruskan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti biasa tanpa terlalu bergantung kepada rundingan bersama Barisan Nasional (BN).
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, PH juga tidak mempunyai masalah sekiranya terpaksa bersaing dengan BN di semua kerusi pada PRN akan datang seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
"Memang kena sentiasa bersedia sebab runding atau tidak runding itu pilihan masing-masing. Setiap parti ada hak untuk buat keputusan.
"Kalau kita bersaing di semua kerusi yang ditandingi pun tidak jadi isu kerana kita memang sebelum ini pun macam itu juga," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Kampung Angkat Madani Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Kampung Sungai Putat pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan PRN selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan tempohnya semakin hampir iaitu 'dua kali Jumaat'.
Adam Adli berkata, walaupun setiap parti bakal bertanding dan bersaing dalam PRN, perkara itu tidak seharusnya menjejaskan hubungan serta keharmonian rakyat di negeri ini.
Katanya, pengalaman sepanjang lebih tiga tahun berada dalam Kerajaan Perpaduan di Melaka menunjukkan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) PH turut memberikan kerjasama yang baik kepada kerajaan negeri.
"Kita di Melaka, walaupun kalau kita bertingkah, berlawan dan berselisih, tetapi akhirnya kita kena hormat satu sama lain.
"Nanti apabila masuk pilihan raya, kita akan berhentam, tetapi dalam tempoh lebih tiga tahun sebagai Kerajaan Perpaduan di Negeri Melaka ini, ADUN daripada PH memberikan kerjasama yang cukup baik kepada kerajaan negeri," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, PH mahu memastikan pilihan raya tidak dilihat sebagai medan yang mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
"Runding atau tidak runding tak jadi masalah lagi. Yang mustahak dalam persaingan tersebut jangan sampai rakyat tidak dapat apa-apa.
"PH tetap akan berdepan dengan pilihan raya dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab, dengan tumpuan masih terhadap kepentingan masyarakat," katanya.





