hamden13/11/2026 - 15:08 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov - Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan masih mengadakan perbincangan dengan AirAsia Group Bhd berhubung beberapa perkara berkaitan syarikat penerbangan tambang rendah itu, namun belum ada keputusan dimuktamadkan setakat ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata perbincangan antara kerajaan dengan AirAsia masih di peringkat awal dan beliau belum dapat memberikan maklumat lanjut mengenainya.
“Saya fikir perkara itu masih di peringkat perbincangan, jadi saya belum boleh menyatakan apa-apa mengenainya,” katanya lapor Business Times.
Beliau ditemui di luar Mesyuarat Presiden ke-70 Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) di sini.
Ketika ditanya sama ada perbincangan itu turut merangkumi pakej pembiayaan atau jaminan kerajaan terhadap pinjaman AirAsia, Hasbi berkata perkara berkenaan masih dalam perbincangan.
Kenyataan itu menyusul laporan mengenai kedudukan kewangan AirAsia yang dikatakan berdepan tekanan akibat peningkatan harga bahan api jet serta usaha kumpulan itu mendapatkan pembiayaan baharu bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.
Pada 19 Oktober lalu, Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan bahawa kerajaan belum membuat sebarang perjanjian atau komitmen untuk memberikan bantuan kewangan kepada AirAsia, sama ada menerusi jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam.
Kementerian itu menjelaskan bahawa sebarang permohonan sokongan kerajaan akan dinilai berdasarkan kepentingan negara dan rakyat, kemampanan fiskal kerajaan serta perlindungan dana awam.
Bantuan tanpa melibatkan suntikan dana awam
Sementara itu agensi berita Reuters melaporkan, kerajaan Malaysia sedang menimbang cadangan untuk membantu AirAsia tanpa membabitkan penggunaan dana awam dan suntikan dana secara terus.
Memetik kenyataan Anthony Loke yang melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan baru-baru ini, beliau memberitahu Kementerian Kewangan dan bukannya Kementerian Pengangkutan yang sedang meneliti cadangan membantu syarikat penerbangan itu.
"AirAsia adalah syarikat swasta tidak seperti Malaysia Airlines yang dimiliki kerajaan," ujar Loke. - DagangNews.com






