
SHAH ALAM, 6 NOV: Jalan Rawang-Kuala Selangor (B27) di Seksyen 9.90, Daerah Gombak ditutup sepenuhnya kepada semua lalu lintas susulan kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku pada jam 11 malam semalam.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dalam satu kenyataan media memaklumkan runtuhan itu melibatkan kegagalan cerun atas dan cerun bawah yang mengakibatkan sebahagian struktur jalan runtuh serta beberapa pokok tumbang menghalang keseluruhan laluan.
Menurut JKR Selangor, punca awal kejadian dipercayai akibat hujan lebat yang menyebabkan penyusupan air hujan berkuantiti tinggi ke dalam tanah.
Bagi menjamin keselamatan pengguna, JKR Selangor telah mengaktifkan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dengan memasang papan tanda penutupan jalan penuh dan lencongan laluan.
Sebagai langkah pencegahan awal, lembaran kanvas turut (tarpaulin) dipasang pada permukaan tebing dan cerun yang terjejas bagi mengelakkan hakisan serta runtuhan susulan.
Pada masa sama, kerja-kerja pembersihan tanah runtuh dan pokok tumbang di bahagian cerun atas giat dijalankan oleh pihak konsesi jalan negeri. Pemantauan berterusan turut dilaksanakan oleh JKR Daerah Gombak bersama pihak konsesi bagi memantau sebarang pergerakan struktur jalan dan kestabilan cerun secara aktif.
JKR Selangor dalam kenyataan sama menambah, pembinaan jalan lencongan sementara bagi kenderaan ringan di kawasan terjejas akan dilaksanakan tertakluk kepada pertimbangan teknikal dan tahap keselamatan semasa.
Hebahan mengenai pembukaan semula laluan berkenaan akan dibuat kelak selepas kawasan runtuhan disahkan selamat dan jalan lencongan khusus untuk kenderaan ringan siap disediakan.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa peka serta mematuhi papan tanda arahan di lokasi demi keselamatan bersama. Maklumat lanjut berkenaan laluan alternatif boleh dirujuk menerusi laman Facebook rasmi JKR Selangor dan JKR Daerah Gombak.



![[VIDEO] Kereta rendah jangan berani lalu Bukit Cerakah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/bukit-cerakah-1024x766.jpeg)


