Tanah runtuh: Laluan Jalan Rawang-Kuala Selangor ditutup sepenuhnya - JKR

6 Nov 2026 • 11:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tanah runtuh: Laluan Jalan Rawang-Kuala Selangor ditutup sepenuhnya - JKR
Laluan alternatif dari arah Kuala Selangor ke Rawang - Foto: JKR

KUALA LUMPUR - Insiden tanah runtuh berikutan hujan lebat semalam mengakibatkan penutupan sepenuhnya laluan di Seksyen 9.90 Jalan Rawang-Kuala Selangor (B27) di daerah Gombak.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian tanah runtuh pada 11 malam itu, melibatkan kegagalan cerun atas dan cerun bawah, sehingga sebahagian struktur jalan di seksyen terbabit runtuh.

Menurut kenyataan itu runtuhan turut menyebabkan pokok tumbang dan menghalang keseluruhan laluan kenderaan.

"Penutupan jalan telah dilaksanakan oleh pihak JKR Daerah Gombak dan hebahan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya, telah dihebahkan melalui Facebook JKR Selangor dan JKR Daerah Gombak, pagi ini.

"Punca kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan penyusupan air hujan yang tinggi, menjadikan tahap ketepuan tanah pada kawasan bercerun meningkat,” menurut JKR Selangor menerusi kenyataan, malam ini.

Menurut kenyataan JKR itu, tekanan air pada liang itu kemudiannya menyebabkan ketidakstabilan cerun dan pergerakan tanah, sehingga sebahagian struktur jalan runtuh dan terjejas.

Bagaimanapun, JKR Selangor memaklumkan siasatan dan penilaian teknikal terperinci masih giat dijalankan, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Selain itu, Pelan Pengurusan Trafik (TMP) termasuk pemasangan papan tanda penutupan jalan sepenuhnya dan lencongan telah diaktifkan, manakala pemasangan sementara tarpaulin sheet pada permukaan tebing jalan serta cerun yang terjejas, dibuat bagi mengelakkan hakisan dan runtuhan susulan.

"Kerja pembersihan runtuhan tanah dan pokok tumbang dari bahagian cerun atas, telah dilaksanakan oleh pihak konsesi jalan negeri, selain pemantauan berterusan terhadap pergerakan aktif struktur jalan dan kestabilan cerun,” menurut kenyataan itu.

Pembinaan jalan lencongan di kawasan terjejas akan dilaksanakan bagi laluan kenderaan ringan, namun ia bergantung kepada pertimbangan teknikal melibatkan faktor keselamatan serta tahap kestabilan cerun.

"Hebahan pembukaan semula jalan akan dibuat, selepas pertimbangan teknikal mendapati laluan tersebut selamat dilalui, serta penyediaan jalan lencongan yang terhad kepada kenderaan ringan sahaja disediakan,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved