SHAH ALAM, 9 SEPT: Dua mangsa dalam tragedi runtuhan tanah di Elmina Ridge, Seksyen U15 pagi tadi maut selepas terhempap konkrit longkang dan tertimbus tanah.
Timbalan Ketua Polis Shah Alam berkata siasatan mendapati kejadian berlaku ketika tiga pekerja sedang memasang konkrit longkang sebelum struktur tanah tiba-tiba runtuh.
Supritendan Ramsay Anak Embol berkata susulan runtuhan itu, seorang pekerja dihempap konkrit longkang yang patah sementara seorang lagi tertimbus timbunan tanah.
“Akibat kejadian tersebut, dua pekerja Bangladesh lingkungan umur 25 dan 30 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan badan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang lagi pekerja tidak mengalami sebarang kecederaan. Setakat ini kerja pembinaan di situ masih diteruskan seperti biasa,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysis Selangor memaklumkan mangsa tertimbus 0.3 meter dalam runtuhan tanah dan konkrit ‘culvert U box’ ketika melakukan kerja pembinaan longkang.
Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya sampai ke lokasi pada jam 10.39 pagi, 10 minit selepas menerima panggilan kecemasan dan berjaya membawa mangsa pertama keluar pada 11.12 pagi manakala kedua pada 11.35 pagi.
The post Runtuhan di Elmina: Mangsa maut selepas terhempap konkrit longkang, tertimbus tanah appeared first on Selangorkini.


