KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan usul supaya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berkaitan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan sendiri oleh beliau dan dianggotai 11 ahli Parlimen lain.
“Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan meneliti RUU tersebut termasuk berkenaan mekanisme akauntabiliti Pendakwa Raya dan mencadangkan apa-apa pindaan yang difikirkan perlu berhubung perkara tersebut.
“Selain itu, jawatankuasa ini juga kian menyediakan satu penyata yang mengandungi cadangan pindaan terhadap RUU tersebut dalam tempoh tiga bulan.
“Jawatankuasa Pilihan Khas juga boleh sekiranya perlu melanjutkan tempoh tersebut,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Azalina pada 23 Februari lalu membentangkan RUU pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa raya untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Azalina menambah, selain beliau bertindak sebagai pengerusi, ahli Parlimen lain yang turut menganggotai jawatankuasa tersebut ialah William Leong (Selayang), Syahredzan Johan (Bangi), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Parit Sulong), Adly Zahari (Alor Gajah) dan Roy Angau Gingkoi (Lubok Antu)
Senarai lain ialah Lo Su Fui (Tawau), Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) dan Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman (Muar).
Azalina turut menjelaskan, ahli Parlimen lain, pakar perlembagaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu turut dijemput hadir dalam jawatankuasa khas berkenaan.
Usul yang dikemukakan Azalina itu turut disokong sepenuhnya blok pembangkang.
Takiyuddin yang bangkit menyokong usul turut menegaskan tindakan itu juga antara perkara yang dimahukan pembangkang.
