
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Penganjuran Program RXZ Members Edisi 8.0 (RXZ Members 8.0) pada 31 Julai sehingga 1 Ogos lalu masih menjadi bualan sehingga kini.
Apatah lagi semalam (4 Ogos), Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan sebanyak 11 kematian serta 46 kemalangan direkodkan dalam siri penganjurannya pada kali ini.
Program RXZ Members Lebih Banyak Mudarat Berbanding Manfaat Kepada Masyarakat – Bekas Mufti Terengganu
Terbaharu, beberapa golongan agamawan tampil memberi teguran mengenai penganjuran acara himpunan motosikal terbesar di Malaysia itu yang dikaitkan dengan pelbagai isu antaranya seperti peningkatan kes kematian, kemalangan jalan raya serta segelintir peserta konvoi yang ditahan kerana positif dadah.
Golongan tersebut menyifatkan penganjuran program berkenaan perlu mempunyai matlamat yang jelas dan mematuhi peraturan serta tuntutan syarak dengan tidak menjadikan faktor tertentu sebagai alasan untuk menghalalkan aktiviti berkenaan.
Menurut bekas Mufti Terengganu, Prof Datuk Dr Mohamad Sabri Haron, berdasarkan pemerhatiannya, program RXZ Members dilihat lebih banyak membawa kemudaratan berbanding manfaat kepada masyarakat terutamanya umat Islam.
“Mengenai (acara itu bawa limpahan) ekonomi kepada Terengganu, apa yang penting biarlah ada keberkatan. Kita tidak mahu mudarat lebih besar daripada manfaat.
“Apabila tak ada peraturan (dikuatkuasakan) dengan suasana bising, hingar bingar dan kemalangan berlaku, kita tak nampak setakat ini di mana kebaikan program ini?
“Ia sekadar program tanpa fikir matlamat dan manfaat sebenar,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Pematuhan Bukan Hanya Kepada Penganjuran Acara Tetapi Perlu Menyeluruh
Tegas Mohamad Sabri yang juga Dekan Fakulti Pengajian Islam, University College Bestari, pematuhan syariah dalam penganjuran acara termasuk permotoran bukan hanya melibatkan aspek keselamatan dan pemanduan berhemah di jalan raya.
Namun, ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi pengisian program, tiada aktiviti yang mempunyai maksiat atau menyebabkan gangguan kepada masyarakat sekeliling.
“Maksudnya kena ikut syariah sepenuhnya bukan hanya dari sudut pemanduan untuk memastikan tidak berlaku kecelakaan di jalan raya, tetapi peserta hadir perlu dipastikan dari segi pergaulan, aurat dan sahsiah.
“Buatlah peraturan ketat, setiap peserta konvoi ingin hadir perlu patuh syarat ditetap misalnya diwajibkan mengikuti kursus pemanduan berhemah dan pemantapan sahsiah,” jelasnya.
Hukum Konvoi Motosikal Harus Namun Boleh Berubah – Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menjelaskan berdasarkan asas hukum fiqh, hukum konvoi motosikal adalah harus kerana tiada nas yang mengharamkannya.
Namun, hukum itu boleh berubah mengikut kemudaratan yang terhasil daripada aktiviti tersebut.
“Apabila sesuatu konvoi mula menimbulkan unsur tidak diingini seperti mengganggu pengguna jalan raya, menyebabkan kesesakan melampau, mengabaikan adab di jalan raya atau mendorong kepada pembaziran.
“Maka, hukumnya boleh berubah daripada harus kepada makruh kerana ia mula membawa kesan yang tidak baik, walaupun belum sampai ke tahap jelas membahayakan.
“Sekiranya dalam konvoi terbabit berlaku perlumbaan haram, aksi berbahaya, pelanggaran undang-undang jalan raya, mengundang kemalangan, kehilangan nyawa atau mencederakan orang lain, maka hukumnya boleh berubah menjadi haram.
“Ini kerana Islam melarang perbuatan yang membawa kepada kebinasaan dan kemudaratan,” katanya.
Tambah Dr Mohd Izhar Ariff lagi, tidak salah minat terhadap motosikal namun janganlah hobi itu menjadi penyebab seseorang mengabaikan syariat, keselamatan dan hak orang lain.
Penganjuran RXZ Members 8.0 Rekod 11 Kematian Bagi Tempoh 30 Julai Sehingga 2 Ogos
Terdahulu, Program RXZ Members 8.0 disifatkan sebagai edisi yang paling mendapat sambutan kerana berjaya menghimpunkan lebih 200,000 peserta sejak penganjurannya pada tahun 2017.
Namun di sebalik kejayaan penganjurannya, sebanyak 11 kematian melibatkan penunggang motosikal direkodkan dari 30 Julai sehingga 2 Ogos.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, sebanyak 46 kes kemalangan juga dicatatkan sepanjang tempoh sama.
Jelasnya, jumlah kemalangan tertinggi direkodkan pada 31 Julai lalu dengan 16 kes, diikuti 15 kes pada 2 Ogos, 11 kes pada 1 Ogos manakala empat kes pada 30 Julai.
Baca Artikel Berkaitan: “Yang Bermula Pasti Akan Berakhir” – Penganjur Beri Bayangan, RXZ Members Akan Berakhir Pada Edisi Ke-10
Baca Artikel Berkaitan: Penganjur RXZ Members Tukar Slogan Jadi ‘Yang Santai Pasti Sampai’, Ajak Peserta Tunggang Motosikal Secara Berhemah
Baca Artikel Berkaitan: “Jalan Raya Bukan Hanya Laluan Menuju Destinasi”- Dr Zulkifli Titip Pesanan Buat RXZ Members






