Influenza tambah derita Kelantan Red Warrior

29 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Influenza tambah derita Kelantan Red Warrior

PETALING JAYA: Persiapan skuad Kelantan Red Warrior (KRW) FC menentang Kuching City FC semakin kritikal apabila dilaporkan beberapa pemain mengalami masalah kesihatan.

Skuad Pantai Timur itu berdepan ancaman influenza apabila tiga pemain disahkan positif virus berkenaan, manakala lapan daripada 17 pemain yang menjalani ujian saringan turut menunjukkan gejala termasuk demam dan sakit badan.

Situasi berkenaan pastinya menambah beban skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim apabila perlawanan yang pada asalnya dijadual berlangsung di Kota Bharu terpaksa dipindahkan ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dalam masa sama, KRW masih terikat dengan sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus menyukarkan usaha mereka memperkuatkan pasukan yang rata-rata dibarisi pemain kurang berpengalaman di pentas Liga Super.

Irfan mengakui pasukannya tidak mempunyai banyak pilihan selain memanfaatkan pemain sedia ada, namun tetap mahu memberikan tentangan terbaik kepada Kuching City.

“Kami akan cuba berikan aksi terbaik menentang Kuching City. Namun, disebabkan sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA, kami tidak boleh mengambil pemain baharu dan terpaksa menggunakan pemain yang ada.

“Pengurusan sedang berusaha menyelesaikan masalah dengan FIFA dan masalah itu bukan berpunca daripada mereka, tetapi kelab terpaksa menanggungnya,” katanya.

Dalam pada itu,skuad kendalian Aidil Sharin Sahak  yang muncul naib juara Liga Super musim lalu menjadi satu lagi ujian getir buat pendatang baharu itu selepas aksi bertemu Selangor dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

KRW kini dibolosi 13 gol dalam dua perlawanan bermula dengan kekalahan 1-4 kepada Selangor pada aksi pembukaan di Stadium Sultan Muhammad IV sebelum dibelasah JDT 9-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Selepas dua perlawanan, KRW kini menghuni dasar liga tanpa sebarang mata, selain menjadi pasukan dengan jumlah bolos tertinggi setakat ini. 

KRW bakal melayan kunjungan Kuching City di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada hari ini dengan misi bangkit dari dua kekalahan pada aksi lalu.-UTUSAN

The post Influenza tambah derita Kelantan Red Warrior appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved