Irfan Bakti puji semangat pemain KRW FC saingi Kuching City

LocalFootball
2 Sep 2026 • 11:36 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Irfan Bakti puji semangat pemain KRW FC saingi Kuching City

KOTA BHARU: Keupayaan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bangkit daripada kekalahan 0-5 kepada Kuching City FC tiga hari lalu untuk mengikat lawan sama 0-0 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA wajar mendapat pujian.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, barisan pemain KRW FC menunjukkan sikap amat positif apabila mampu menyaingi Kuching City yang disifatkan sebagai antara pasukan terbaik dalam arena bola sepak tempatan ketika ini.

“Kita hanya ada 11 hingga 14 pemain dan bertemu lawan sama yang mengalahkan kita dengan keputusan 5-0 tiga hari lepas. Malam ini mereka mampu menyaingi pasukan kedua terbaik di Malaysia dan memiliki sembilan hingga 10 pemain import.

“Bagi pasukan yang kekurangan pemain, tiada pengalaman di Liga Super dan hanya bergantung kepada dua pemain import, KRW FC telah menunjukkan persembahan bermutu tinggi malam ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Irfan Bakti memberitahu, aksi tersebut memberi pelajaran penting kepada pemainnya, terutama dalam memanfaatkan peluang yang terhidang sebelum berdepan perlawanan timbal balik pada 8 September ini.

“Pelajaran utama adalah apabila mendapat peluang, manfaatkan sepenuhnya sebelum semua peluang tertutup.

“Peluang terbuka kita adalah lebih baik berbanding Kuching City tetapi jika tidak ambil kesempatan, rugilah,” katanya.

Sementara itu, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak menerima keputusan seri tanpa jaringan itu dengan hati terbuka dan melihatnya secara positif bagi melakukan perubahan sewajarnya menjelang perlawanan timbal balik.

Katanya, saingan Piala FA adalah pentas berbeza berbanding Liga Super, lebih-lebih lagi apabila pasukannya turun selaku pelawat.

“Saingan merebut piala adalah pentas berbeza berbanding liga, lebih-lebih lagi apabila turun selaku pelawat. Ia perlawanan sukar walau apapun keputusan yang kita peroleh pada perlawanan sebelum ini.

“Kita boleh lihat sendiri perbezaan rentak permainan KRW FC apabila mereka lebih bersemangat pada malam ini dan mempersembahkan corak permainan yang jauh berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.

Aidil Sharin bagaimanapun enggan menjadikan situasi semasa termasuk bencana alam sebagai alasan bagi menjelaskan prestasi anak buahnya, sama ada dalam saingan Piala FA, Liga Super atau AFC Champions League II.

“Selepas ini kita akan kembara ke Sabah untuk Liga Super, Melaka untuk perlawanan timbal balas pusingan 16 Piala FA dan Kemboja untuk perlawanan AFC Champions League II.

“Bermakna lebih sebulan pemain-pemain akan berjauhan daripada keluarga masing-masing. Namun ia mesti dilihat sebagai cabaran untuk menguatkan pasukan dan mengukuhkan persefahaman antara satu sama lain,” ujarnya.-UTUSAN

The post Irfan Bakti puji semangat pemain KRW FC saingi Kuching City appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved