Sabah bakal peroleh 30 peratus pegangan dalam dua lapangan minyak, gas baharu - Hajiji

LocalBusiness & Finance
9 Aug 2026 • 9:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sabah bakal peroleh 30 peratus pegangan dalam dua lapangan minyak, gas baharu - Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti UPKO Datuk Ewon Benedick pada majlis perasmian Majlis Ulang Tahun UPKO Ke-30 di Dewan Hongkod Koisaan Penampang malam tadi. Foto Bernama

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah bakal memperoleh 30 peratus pegangan dalam dua lapangan minyak dan gas baharu di Pantai Timur negeri ini, kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau menyatakan kerajaan negeri juga sedang memuktamadkan pemerolehan 40 peratus ekuiti dalam projek fasiliti gas asli cecair terapung (FLNG) di Sabah.

"Insya-ALLAH, perjanjian untuk perkongsian ini akan dimeterai dalam masa terdekat ini.

"Kerajaan negeri juga akan membangunkan taman-taman perindustrian baharu termasuk di Kota Belud dan hab ekonomi biru di Kudat bagi melonjakkan lagi kadar pelaburan di negeri ini sekali gus meningkatkan aktiviti rantaian ekonomi domestik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ke-32 dan pembukaan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di sini hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelaskan perkembangan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas menerusi kerjasama strategik dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA).

Beliau berkata, kerjasama itu meningkatkan pegangan ekuiti kerajaan negeri dalam penerokaan dan pembangunan industri minyak dan gas di Sabah selain membuka lebih banyak ruang kepada syarikat tempatan untuk terbabit dalam pembangunan industri berkenaan.

Dalam pada itu, Hajiji memberitahu, kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi kewangan dan peningkatan kutipan hasil negeri sebagai antara asas penting dalam memacu pembangunan Sabah.

Menurut beliau sejak 2022, kerajaan negeri berjaya mengekalkan kutipan hasil pada paras RM7 bilion setiap tahun dan beliau menjangkakan kutipan hasil negeri tahun ini akan meningkat kepada RM8 bilion.

"Pada 2025 sahaja, sebanyak RM7.6 bilion nilai pelaburan dalam sektor pembuatan direkodkan iaitu peningkatan hampir 208 peratus berbanding 2024,” katanya.

Jelas Hajiji, pencapaian itu turut disokong oleh daya tahan ekonomi negeri dalam mendepani pelbagai cabaran domestik dan global sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelaburan strategik. - Bernama

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved