
PETALING JAYA: Fenomena jerebu yang pernah melanda negara kembali memburuk apabila 12 kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) susulan fenomena Super El-Nino dan kebakaran hutan di Indonesia.
Cuaca panas yang melanda rantau ini sejak minggu lalu menyebabkan lebih 107,000 hektar kawasan hutan terbakar di seluruh Indonesia setakat ini, kira-kira dua kali ganda berbanding keluasan yang direkodkan sebelum ini.
Situasi itu memaksa aktiviti luar bilik darjah bagi sekolah di Sarawak yang berada di kawasan mencatatkan IPU melebihi 100 diarahkan dihentikan serta-merta.
Dalam pada itu, jerebu semakin buruk apabila kualiti udara 12 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU tahap tidak sihat susulan fenomena Super El-Nino dan kebakaran hutan di Indonesia.
Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) setakat pukul 4 petang semalam menunjukkan Serian, Sarawak mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 190.
Selain itu, 11 lokasi IPU tidak sihat adalah Samarahan dengan bacaan 169, Kuching (166), Bintulu (159), Samalaju (155), Mukah (155), Sri Aman (155), Sibu (154), Sarikei (154), Johan Setia, (151) dan Miri (145) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (119).
Pada masa sama, sebanyak 22 kawasan di Selangor, Putrajaya, Melaka, Labuan, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Johor turut mencatatkan IPU sederhana melebihi bacaan 80.
Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai sihat, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).
Sebanyak lima kawasan di Lembah Klang mencatatkan bacaan IPU melebihi 80 iaitu membabitkan Shah Alam pada kadar 98, Banting (92), Petaling Jaya (88), Kuala Selangor (87) dan Klang (83).
Kawasan lain mencatatkan bacaan melebihi 80 adalah Putrajaya pada kadar 97, Cheras (92), Batu Muda (90) dan Labuan (89).
Beberapa kawasan di Johor turut dilaporkan terjejas membabitkan Segamat pada bacaan 86, Batu Pahat (82), Kluang (81), Pasir Gudang (81) dan Tangkak (80).
Lain-lain kawasan yang mencatatkan bacaan melebihi 80 adalah Bukit Rambai, Melaka (90); Temerloh, Pahang (87); Alor Gajah, Melaka (86); Tanjung Malim, Perak (85); Nilai, Negeri Sembilan (84); Kota Kinabalu, Sabah (83); Politeknik Kota Kinabalu, Sabah (83) dan Seremban, Negeri Sembilan (82).
Semalam, media Indonesia melaporkan lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh negara tersebut terjejas akibat kebakaran dengan kerajaannya meningkatkan usaha bagi mengelakkan jerebu rentas sempadan menjejaskan negara jiran.
Enam wilayah, iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan, sedang dipantau rapi sebagai kawasan paling kritikal.
Situasi itu menyebabkan puluhan sekolah di Indonesia ditutup untuk hari kedua berturut-turut pada Selasa susulan krisis jerebu akibat kebakaran hutan yang semakin buruk di seluruh negara itu.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago berkata, situasi tersebut berlaku pada permulaan musim kemarau yang panjang dan lebih ekstrem tahun ini, yang turut dipengaruhi fenomena cuaca El Nino.
“Kami telah menegaskan kepada anggota di lapangan bahawa usaha ini bukan sekadar memadamkan kebakaran dan melindungi alam sekitar serta kesihatan awam. Sebaliknya ia juga adalah tanggungjawab negara yang perlu dipikul bersama,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan fenomena El Nino berpotensi menjadi kuat dan boleh mencapai tahap super dengan kebarangkalian peningkatan 96 peratus hingga awal tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ramalan terkini daripada Pusat Ramalan Iklim (CPC) Amerika Syarikat menunjukkan peluang El Nino berlaku mulai bulan ini adalah 82 peratus.
Fenomena El Nino yang kuat boleh mempercepatkan kebakaran hutan dan tanah serta dijangka berterusan sehingga sekitar awal Oktober atau awal tahun depan.-UTUSAN
The post Jerebu kembali melanda negara appeared first on Utusan Malaysia.





