Sabah jambatan penting hubungan dengan China

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 8:47 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sabah jambatan penting hubungan dengan China

Kota Kinabalu: Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menjadi jambatan penting dalam memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan China, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata hubungan Sabah dengan China merupakan bahagian penting dalam kerjasama lebih luas antara Malaysia dan China, dengan silaturahim antara kedua-dua pihak telah terjalin sejak sekian lama menerusi laluan perdagangan maritim.

Hajiji“Selama berabad-abad lalu, laluan perdagangan maritim menghubungkan komuniti pesisir di Borneo dengan selatan China serta kawasan lain di Asia Tenggara.

“Hubungan ini membolehkan pertukaran barangan, idea, budaya dan masyarakat, sekali gus mewujudkan ikatan yang kekal bermakna hingga hari ini,” katanya pada Majlis Resepsi Sempena Ulang Tahun Ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China di Magellan Sutera Resort, di sini, Selasa. Ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun dan Konsul Jeneral China Dr Zhu Xinglong.

Hajiji berkata kedudukan geografi yang strategik, potensi ekonomi, kekayaan sumber semula jadi serta hubungan rakyat dengan rakyat yang telah lama terjalin membolehkan Sabah menawarkan platform kukuh bagi penglibatan perusahaan, institusi dan masyarakat dari China.

“Perdagangan dan pelaburan kekal sebagai tonggak utama hubungan Sabah-China. China merupakan antara rakan dagang terpenting Sabah, dengan kerjasama merangkumi komoditi, pertanian, perikanan, produk perkilangan, pelancongan dan perkhidmatan.

“Syarikat-syarikat China yang beroperasi di Sabah telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur serta hubungan perniagaan yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata Sabah turut menawarkan peluang pelaburan yang luas kepada pelabur China dalam sektor pelancongan, tenaga boleh baharu, pertanian, perikanan, logistik, perkhidmatan digital dan ekonomi biru.

Menurutnya, terdapat juga ruang yang luas untuk kedua-dua pihak berkongsi kepakaran dalam bidang pertanian, pemuliharaan marin, tenaga bersih, pertanian pintar dan akuakultur.

Hajiji berkata kerjasama dalam sektor pelancongan juga boleh dipertingkatkan menerusi hubungan udara yang lebih baik, peluasan pemasaran digital serta pembangunan ekopelancongan, pelancongan budaya dan pelancongan pengembaraan.

Selain kerjasama ekonomi, katanya, terdapat potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan dan kebudayaan, termasuk menerusi kerjasama universiti, pertukaran pelajar, program bahasa, penyelidikan, biasiswa serta bidang sains dan teknologi.

Beliau berkata Sabah kekal komited menyokong hubungan kukuh dan konstruktif antara Malaysia dan China, sambil meneruskan keutamaan negeri menerusi agenda pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0.

“Sabah bersedia dan berhasrat untuk menjadi platform penting bagi kerjasama Malaysia-China,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved