Sabah kekal sambut Hari Malaysia di SICC susulan jerebu

LocalEnvironment
14 Sep 2026 • 6:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sabah kekal sambut Hari Malaysia di SICC susulan jerebu
Jafry (kanan) pada sidang akhbar di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Lokasi sambutan Hari Malaysia yang akan disambut pada Rabu ini, kekal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), walaupun keadaan jerebu sudah semakin pulih di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, keputusan kerajaan negeri untuk mengadakan sambutan berkenaan di lokasi tertutup turut mengambil kira faktor cuaca yang tidak menentu sejak beberapa hari lalu.

"Memang satu daripada faktornya adalah jerebu dan sekarang keadaan jerebu sudah semakin baik, tetapi kita juga mengambil kira keadaan cuaca.

"Sejak beberapa hari lalu, hujan kerap berlaku. Jadi kalau hujan, ia akan menyusahkan orang ramai juga," katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Malaysia Peringkat Negeri Sabah ditanya pemberita sama ada keputusan memindahkan lokasi sambutan Hari Malaysia ke SICC masih dikekalkan susulan keadaan jerebu yang kini lebih terkawal.

Tambah Jafry lagi, pengalaman sambutan sebelum ini turut menjadi pertimbangan dalam menentukan lokasi penganjuran kali ini.

Menurutnya, sambutan yang pernah diadakan sebelum ini berdepan keadaan hujan, sekali gus memberi kesan kepada kelancaran acara yang berlangsung di kawasan terbuka.

"Saya ingat kalau tidak silap pada 2024, ketika sambutan berlangsung, kebetulan hujan.

"Malah di Kuching juga, mereka mengadakan sambutan di dalam bangunan. Jadi kerajaan negeri memutuskan untuk kita adakan sambutan kali ini di SICC terutama mengambil kira faktor cuaca," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, keputusan menggunakan SICC sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia kekal seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Sementara itu, bercakap mengenai pengisian sambutan, Jafry berkata, antara kelainan tahun ini ialah penglibatan 300 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi menerusi persembahan kumpulan Suara Patriotik, selain persembahan kebudayaan dan artis tempatan yang dikendalikan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Katanya, sambutan yang dijadualkan bermula jam 8 malam itu dijangka dihadiri sekurang-kurangnya 3,000 orang, dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, bersama isteri dijadual menyempurnakan acara berkenaan.

Beliau turut mengajak orang ramai dari Kota Kinabalu dan daerah berdekatan hadir beramai-ramai sambil menegaskan sambutan Hari Malaysia bukan sekadar acara tahunan atau cuti umum, sebaliknya perlu menjadi wadah menghayati sejarah dan erti kemerdekaan terutama dalam kalangan generasi muda.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved