johardy26/08/2026 - 10:08 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Ogos - Sabah akan terus mengalu-alukan pelaburan berkualiti yang mampu menghasilkan limpahan ekonomi lebih luas kepada negeri itu, termasuk membuka peluang perniagaan kepada syarikat tempatan dan mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, pelaburan yang memasuki Sabah juga perlu membantu memperkukuh rantaian bekalan domestik, membangunkan bakat tempatan serta memudahkan pemindahan teknologi dan pengetahuan.
Beliau berkata, ketika ekonomi negeri berkembang dan pelaburan baharu terus masuk, syarikat tempatan perlu bersedia menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan serta membangunkan keupayaan yang diperlukan untuk merebut peluang tersebut.
“Sabah dikurniakan sumber dan peluang yang sangat besar, tetapi kita juga perlu menyedari bahawa potensi sahaja tidak akan mewujudkan kemakmuran sekiranya kita gagal menterjemahkannya kepada industri yang lebih kukuh, perniagaan yang berdaya saing, pekerjaan berkualiti dan peluang ekonomi lebih besar untuk rakyat,” katanya.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas pada CEO Masterclass 2026 di Kota Kinabalu pada Selasa.

Beliau berkata, keperluan memperkukuh keupayaan syarikat Sabah semakin penting apabila peluang pelaburan dan pembangunan baharu muncul dalam sektor utama termasuk pertanian, pelancongan, pembuatan, minyak dan gas, sumber asli, logistik, pengangkutan serta keusahawanan.
Syarikat Sabah perlu bersedia rebut peluang
Ewon berkata, antara keutamaan kementeriannya ialah memastikan lebih banyak syarikat Sabah dapat mengambil bahagian secara bermakna dalam pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurutnya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diperkukuh, manakala usahawan serta syarikat tempatan perlu dibantu untuk berkembang dan membina keupayaan serta keyakinan bagi bersaing pada peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Pendekatan itu, katanya, sejajar dengan dasar `Sabah First' yang mahu memastikan syarikat dan usahawan tempatan diberikan peluang lebih besar untuk mengambil bahagian serta memperoleh manfaat daripada pembangunan negeri.
Pada masa sama, Ewon berkata, kerajaan negeri mempunyai peranan penting dalam mewujudkan persekitaran kondusif untuk pertumbuhan perniagaan dan pelaburan menerusi dasar yang sesuai, pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan serta kemudahan dan sokongan kepada industri.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak boleh membina ekonomi masa depan Sabah secara bersendirian dan penyertaan kukuh sektor swasta, khususnya ketua pegawai eksekutif, usahawan dan pemimpin industri, amat diperlukan.
“Tanggungjawab bersama kita adalah untuk membina syarikat Sabah yang lebih kukuh, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan peluang perniagaan untuk rakyat Sabah, membangunkan bakat tempatan serta memperkukuh keupayaan usahawan supaya lebih banyak perniagaan Sabah mampu bersaing melangkaui sempadan kita,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama lebih erat antara kerajaan, sektor swasta, industri dan komuniti keusahawanan akhirnya akan membantu membentuk ekonomi Sabah yang lebih kukuh, berdaya saing dan berdaya tahan. - DagangNews.com






