PM Anwar Mahu FINAS Beri Ruang Lebih Luas Untuk Anak Seni Berkarya

LocalMovie
24 Aug 2026 • 8:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

PM Anwar Mahu FINAS Beri Ruang Lebih Luas Untuk Anak Seni Berkarya

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap industri perfileman tanah air terus diberikan ruang keterbukaan dan kebebasan dalam berkarya bagi memastikan seni, budaya serta sastera negara dapat berkembang tanpa terlalu banyak tekanan dan sekatan.

Menurut Anwar, industri filem memainkan peranan penting dalam mempertahankan serta memperkasa bahasa, budaya, nilai dan jati diri negara supaya generasi muda tidak terputus daripada akar budaya sendiri.

“Dalam mengejar kemajuan dan teknologi baharu, kita harus berani menggapai ke langit, namun tetap mengakar ke bumi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook malam ini selepas merasmikan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Damansara Damai.

Image from: PM Anwar Mahu FINAS Beri Ruang Lebih Luas Untuk Anak Seni Berkarya
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Anwar berkata, keterbukaan dan kebebasan perlu diberikan kepada penggiat seni kerana beliau bimbang karya seni, budaya dan sastera akan terkekang serta gagal berkembang sekiranya berdepan terlalu banyak tekanan dan sekatan.

Menurutnya, pengalaman lalu turut mengajar bahawa sesebuah karya tidak seharusnya dinilai secara terlalu sempit hanya disebabkan satu atau dua babak yang dianggap sensitif oleh pihak tertentu.

“Saya masih mengingati beberapa karya hebat yang pernah berdepan sekatan hanya kerana satu dua babak yang dianggap sensitif oleh pihak tertentu.

“Pengalaman lalu mengajar kita supaya tidak menilai sesebuah karya secara terlalu sempit sehingga keseluruhan kekuatan, pemikiran dan nilai seninya tenggelam,” ujarnya.

Baca juga:

Ingatkan Generasi Baharu Agar Tidak Terpisah Daripada Akar Budaya

Dalam pada itu, Anwar turut mengimbau sumbangan Seniman Agung P. Ramlee yang menurutnya berjaya mengangkat kesedaran serta nilai kemanusiaan menerusi karya-karya berani dan kritis.

Beliau berkata, karya P. Ramlee turut berjaya meruntuhkan tembok prasangka serta faham perkauman sempit, selain kekal dekat di hati masyarakat sehingga hari ini.

“Sebab itu, saya sedikit bimbang melihat sebahagian generasi baharu, terutama anak-anak yang membesar di kota, semakin terpisah daripada khazanah seni dan akar budaya kita,” jelasnya.

Namun, Anwar berkata beliau melihat masih ada harapan apabila cucu-cucunya sendiri mula menunjukkan minat untuk menyaksikan lebih banyak filem Melayu selepas menonton Pendekar Bujang Lapok.

Menurutnya, pengalaman itu meyakinkan beliau bahawa karya tempatan sebenarnya tidak ketandusan mutu, sebaliknya generasi baharu perlu diberikan lebih banyak pendedahan untuk mengenali, menikmati dan menghargai khazanah seni negara.

Justeru, beliau berkata FINAS perlu terus memperkasa anak-anak seni tempatan dalam menghasilkan karya malar segar yang mampu menghubungkan kembali generasi muda dengan seni, budaya dan jati diri negara.

Image from: PM Anwar Mahu FINAS Beri Ruang Lebih Luas Untuk Anak Seni Berkarya
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Kebajikan Anak Seni Tidak Boleh Dipinggirkan

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata kemajuan industri perfileman perlu bergerak seiring dengan usaha menjaga kebajikan seluruh penggiatnya.

Katanya, sejarah industri tempatan turut menyimpan kisah pilu segelintir seniman yang berakhir dalam kesengsaraan akibat sistem yang menekan dan gagal membela nasib mereka.

“Kerana itu, kemajuan industri harus bergerak seiring dengan kebajikan seluruh penggeraknya, daripada pelakon dan pengarah kepada penulis, kru serta tenaga di belakang tabir,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus memastikan sokongan yang diperlukan bagi meningkatkan mutu karya, memperkukuh industri serta membela nasib penggiat seni tanah air.

Jelasnya, perkara itu juga akan dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.

“Insya-Allah, ini akan menjadi antara perkara yang akan dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved