amree20/08/2026 - 09:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – Ranhill Utilities Berhad dilihat semakin strategik meraih manfaat daripada pertumbuhan pesat pusat data (DC) dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurut penganalisis, permintaan air bakal meningkat, meskipun prospek syarikat masih berdepan dengan cabaran kos elektrik, margin yang lebih rendah dan risiko penggunaan air tidak mencapai jangkaan.
Mereka mengekalkan saranan 'beli' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) pada RM3.26 sesaham, dipacu potensi pertumbuhan segmen air serta perkembangan pesat ekosistem DC di Johor.
"Prestasi Ranhill mengatasi jangkaan, dengan keuntungan bersih teras RM55 juta pada 4QFY26 dan RM185 juta bagi FY26, yang mewakili 114% daripada anggaran kami," kata TA Securities dalam notanya.
Ujar firma penyelidikan itu, prestasi tersebut disumbangkan segmen air, manakala hasil kumpulan naik 7% suku ke suku (QoQ) kepada RM657 juta, dipacu pertumbuhan segmen perundingan dan tenaga.
Jelasnya, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan melonjak 40% QoQ susulan pengiktirafan geran padanan sebanyak RM48.9 juta diterima oleh syarikat 80%-milik kumpulan itu, Ranhill SAJ (RSAJ).

TA Securities dalam pada itu berkata, Ranhill masih meneruskan projek RSEIII berikutan perubahan konfigurasi loji daripada model turbin gas kitaran gabungan (CCGT) kepada loji kitaran terbuka.
"Susulan prestasi FY26, kami menaikkan unjuran keuntungan bersih FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 14% dan 17%, selain memperkenalkan unjuran FY29 sebanyak RM200 juta," tambahnya lagi.
RHB Research pula mengambil pendekatan lebih konservatif dengan berkata keuntungan teras FY26 berada di bawah jangkaan terutama akibat margin untung kasar (GPM) yang rendah daripada unjuran.
Namun, ia mengekalkan pandangan positif selepas menilat penilaian segmen air dengan kadar diskaun rendah kepada 6% berdasarkan keyakinan permintaan sokongan kukuh pembangunan DC dan JS-SEZ.
Ia mengunjurkan kira-kira 216 juta liter sehari (MLD) tambahan permintaan air, atau RM420 juta penambahan pendapatan Ranhill, daripada kapasiti DC Johor yang dirancang dan sedang dibangunkan.
"Johor menyasarkan kapasiti meningkat kepada 3,475 MLD menjelang 2030 daripada 2,375 MLD ketika ini, dengan baki kapasiti berpotensi menyokong industri lain termasuk JS-SEZ," kata RHB Research.
Secara keseluruhan, ia melihat Ranhill sebagai proksi menarik kepada pembangunan DC dan JS-SEZ, namun risiko utama termasuk kos elektrik lebih tinggi, dan tekanan margin. - DagangNews.com





