Sabah, Sarawak boleh jadi ‘kingmaker’ tentukan Kerajaan Persekutuan – Ewon

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 2:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sabah, Sarawak boleh jadi ‘kingmaker’ tentukan Kerajaan Persekutuan – Ewon

PENAMPANG: Sabah dan Sarawak mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju Kerajaan Persekutuan termasuk pembentukan kerajaan serta pemilihan Perdana Menteri, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, kedudukan kedua-dua negeri itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas memandangkan kewujudan Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada Sabah dan Sarawak.

“Saya melihatnya dalam konteks yang lebih besar. Persekutuan ataupun negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak.

“Sebab itu Sabah dan Sarawak harus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, harus menjadi sebahagian daripada tadbir urus negara ini dan boleh menjadi ‘kingmaker’ sama ada mahu meneruskan Persekutuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, Pusat Kebudayaan Sabah (KDCA), di sini hari ini.

Ewon berkata, peranan Sabah dan Sarawak dalam menentukan hala tuju negara tidak seharusnya dipandang ringan, khususnya dalam memastikan kepentingan kedua-dua negeri itu terus diberi perhatian dalam pentadbiran Persekutuan.

“Kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak adalah dalam menentukan sama ada Persekutuan Malaysia ini perlu diteruskan atau tidak, justeru jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri, siapa Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata, UPKO sudah membuat persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang termasuk memperkukuh struktur parti dan menggalakkan ahli yang berhasrat bertanding supaya meningkatkan gerak kerja di lapangan.

Katanya, soal pembahagian kerusi akan dibincangkan bersama parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila tiba masanya.

“UPKO akan menyampaikan pandangan dan pendirian, sekurang-kurangnya dua kerusi sedia ada UPKO untuk Parlimen iaitu Tuaran dan juga Penampang itu haruslah diberi ruang untuk parti ini bertanding.

“Manakala perkara selebihnya itu, saya memilih untuk merunding melalui proses dalaman dalam GRS,” katanya.

Ewon berkata, setakat ini belum ada rundingan rasmi berhubung pembahagian kerusi dan perkara itu akan dibincangkan pada masa yang sesuai bersama Ketua Menteri Sabah serta parti komponen dalam GRS. – UTUSAN

The post Sabah, Sarawak boleh jadi ‘kingmaker’ tentukan Kerajaan Persekutuan – Ewon appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved