UPKO mahu Perjanjian Petronas 1976 disemak semula

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 3:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UPKO mahu Perjanjian Petronas 1976 disemak semula

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mahu Perjanjian Petronas 1976 yang menetapkan pembayaran royalti minyak kepada Sabah disemak semula sekiranya benar perjanjian itu tidak pernah dibincangkan atau mendapat persetujuan kerajaan Sabah.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap pendedahan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bahawa perjanjian berkenaan yang memberikan Sabah hanya lima peratus royalti minyak tidak pernah dibentangkan atau dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah.

“Kalau betullah ia tidak pernah dibincang dalam mesyuarat Kabinet ataupun tidak pernah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah, UPKO mendesak supaya Perjanjian Petronas mesti disemak semula,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, Pusat Kebudayaan Sabah (KDCA), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ewon berkata, UPKO tidak bersetuju dengan pandangan bahawa isu minyak dan gas adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan semata-mata hanya kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 diluluskan di Parlimen.

Katanya, mana-mana perkara yang memberi kesan besar kepada Sabah seharusnya mendapat persetujuan kerajaan negeri.

“Pendirian kita, mana-mana perkara yang memberi kesan besar kepada Sabah harus mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata pihaknya turut menuntut pelaksanaan pembayaran penuh 40 peratus hasil kepada Sabah, sambil berpandangan pembayaran interim yang diterima ketika ini hanya bersifat sementara.

“Interim itu, pembayaran interim hanyalah langkah sementara sahaja. Itu tidak harus sampai bila-bila. Interim maksudnya sementara,” katanya.

Menurutnya, alasan berkaitan konflik atau peperangan di negara lain tidak seharusnya dijadikan sebab untuk melambatkan pembayaran penuh 40 peratus kepada Sabah kerana rakyat dan syarikat yang beroperasi di negeri itu tetap membayar cukai, manakala hasil negeri terus dikutip.

Sehubungan itu, Ewon berkata, UPKO mencadangkan pendekatan yang pernah dilaksanakan pada awal 1960-an ketika Singapura masih menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, iaitu 40 peratus daripada pungutan hasil Persekutuan dikekalkan di Sabah dan disalurkan terus kepada kerajaan Sabah, manakala 60 peratus dimasukkan ke dalam akaun hasil Kerajaan Persekutuan.

“Ini boleh dibincang cara mekanismenya. Kalau dulu Singapura boleh buat begitu semasa masih berada dalam Persekutuan Malaysia, saya tidak melihat ia sukar dilaksanakan,” katanya.

Ewon berkata, pendirian berhubung perkara itu akan dibahaskan perwakilan UPKO dan sekiranya dipersetujui, beliau akan membawa mandat berkenaan untuk dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pimpinan tertinggi GRS serta kerajaan negeri. – UTUSAN 

The post UPKO mahu Perjanjian Petronas 1976 disemak semula appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved