Terminal Bas Bersepadu KB: Peruntukan RM250 Juta Beri Sinar Baharu 

LocalPolitics
1 Nov 2026 • 5:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Terminal Bas Bersepadu KB: Peruntukan RM250 Juta Beri Sinar Baharu 

KOTA BHARU - Selepas tertangguh sekian lama dan berulang kali mengalami perubahan jadual pelaksanaan, projek pembinaan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) kini menemui sinar baharu, serentak pengumuman peruntukan sebanyak RM250 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Projek yang sekian lama dinantikan penduduk Kelantan itu bertujuan menyediakan kemudahan pengangkutan awam lebih moden di ibu negeri berkenaan. 

Bagaimanapun, hasrat tersebut masih belum menjadi kenyataan meskipun kerajaan negeri pimpinan PAS sebelum ini beberapa kali memberi jaminan berhubung pelaksanaannya.

Pengumuman oleh Perdana Menteri itu sekali gus memberi harapan baharu kepada penduduk untuk menikmati kemudahan terminal bas yang lebih selesa dan teratur. 

Pada masa sama, perhatian turut terarah kepada perkembangan pelaksanaan projek berkenaan yang masih belum diselesaikan selepas sekian lama.

Anwar ketika membuat pengumuman itu semalam turut menyentuh keadaan terminal bas sedia ada di Kelantan. 

Beliau berkata, peruntukan berkenaan telah diluluskan dan surat pemakluman mengenai keputusan itu sudah dihantar kepada Menteri Besar Kelantan.

“Datuk Menteri Besar Kelantan mengatakan semuanya baik, sekolah baik, sekolah agama pun baik, tetapi apabila ditanya mengenai terminal bas, beliau memaklumkan bahawa ia masih belum dinaik taraf.

“Jadi, saya telah meluluskannya. Saya baru sahaja menghantar surat kepada Menteri Besar untuk memaklumkan bahawa kita telah meluluskan projek terminal bas bersepadu Kota Bharu Sentral.

“Bukan RM250,000, tetapi RM250 juta,” katanya.

Susulan pengumuman, perhatian kini tertumpu kepada langkah seterusnya, khususnya jadual pembinaan serta mekanisme pelaksanaan projek bagi memastikan ia dapat diteruskan selepas berdepan ketidaktentuan selama beberapa tahun.

Bagi penduduk Kelantan, komitmen peruntukan RM250 juta itu merupakan perkembangan penting dalam usaha meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di negeri berkenaan.

Selepas tempoh penantian yang panjang, perkembangan sebenar projek di lapangan, termasuk permulaan kerja pembinaan dan penyediaan terminal seperti dirancang, pastinya menjadi perkara paling dinantikan. - Getaran, 1 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved