Sabah peruntuk RM2.3 juta perkukuh usaha pencegahan dadah – Hajiji

1 Nov 2026 • 2:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sabah peruntuk RM2.3 juta perkukuh usaha pencegahan dadah – Hajiji

BEAUFORT: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM2.3 juta tahun ini bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah menerusi peluasan Program TEKAD Sektor Awam dan pemerkasaan SKUAD Antidadah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peruntukan itu diluluskan menerusi Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) 2026, selain pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah.

Katanya, pembangunan negeri bukan sahaja diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan infrastruktur, malah turut bergantung kepada kesejahteraan keluarga, keselamatan komuniti serta masa depan generasi muda.

“Ancaman dadah tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan kehidupan individu, malah turut menggugat keharmonian keluarga, keselamatan masyarakat serta produktiviti negeri.

“Di sebalik setiap angka yang direkodkan, terdapat individu dan keluarga yang memerlukan perhatian, bimbingan dan sokongan untuk membina kehidupan lebih baik,” katanya ketika merasmikan Program MADANI Kita 2026 dan penutupan Festival Kesenian Bagandang di Dataran Bagandang, di sini, hari ini.

Berdasarkan statistik AADK sehingga Jun lalu, seramai 130,307 individu direkodkan sebagai penagih dan penyalah guna dadah di seluruh negara, menurun 3.4 peratus berbanding 134,916 individu bagi tempoh sama tahun lalu.

Di Sabah, seramai 5,269 individu direkodkan dengan penurunan sebanyak 0.02 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Hajiji berkata, penurunan itu tidak seharusnya menyebabkan semua pihak berasa selesa kerana ancaman dadah terus berkembang, khususnya membabitkan dadah sintetik seperti Amphetamine-Type Stimulants (ATS), bahan psikoaktif baharu (NPS) dan opioid sintetik seperti fentanyl.

Katanya, golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun perlu diberikan perhatian serius kerana mereka antara penggerak utama pembangunan negeri.

“Jika golongan ini terjerumus dalam penyalahgunaan dadah, kesannya bukan sahaja menjejaskan masa depan mereka, malah turut merugikan keluarga, ekonomi dan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tiga strategi utama perlu diberikan penekanan bagi memastikan ancaman dadah dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Strategi pertama ialah memperkukuh keluarga dan komuniti sebagai benteng utama pencegahan dadah, termasuk peranan ibu bapa memantau pergaulan, memahami perubahan tingkah laku anak-anak serta membina komunikasi terbuka dalam keluarga.

Hajiji berkata, usaha itu juga perlu diperluas ke kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau-pulau supaya faktor geografi tidak menjadi penghalang kepada akses pendidikan antidadah, intervensi awal dan perkhidmatan kerajaan.

Strategi kedua ialah mempertingkat penguatkuasaan serta kerjasama bersepadu antara agensi, termasuk AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi berkaitan menerusi perkongsian maklumat, risikan serta operasi bersepadu bagi membanteras pengedaran dadah dan memutuskan rangkaian sindiket.

Strategi ketiga pula ialah memperluas akses kepada rawatan, pemulihan dan peluang pekerjaan bagi membantu individu yang berhadapan masalah penagihan kembali berdikari serta menjalani kehidupan produktif. – UTUSAN

The post Sabah peruntuk RM2.3 juta perkukuh usaha pencegahan dadah – Hajiji appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved