sarah11/11/2026 - 15:08 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov - Indeks utama Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), berisiko susut ke paras 1,580 mata sekiranya gagal mempertahankan sokongan psikologi 1,600 mata, susulan tekanan jualan berterusan terhadap saham perbankan dan syarikat berkaitan pusat data, menurut penganalisis pasaran.
Berjaya Research Sdn Bhd (Berjaya Research) menjangkakan pasaran saham tempatan kekal tidak menentu dalam jangka pendek, dengan paras sokongan terdekat pada 1,600 mata, diikuti 1,580 mata, manakala paras rintangan dikenal pasti antara 1,634 hingga 1,640 mata.
Menurut firma penyelidikan itu, tekanan jualan terhadap saham berwajaran tinggi seperti YTL Power International Bhd, Public Bank Bhd dan MR DIY Group (M) Bhd terus menjejaskan prestasi indeks, meskipun kebanyakan pasaran saham serantau mencatatkan pemulihan.
FBM KLCI ditutup susut 12.51 mata atau 0.77% kepada 1,604.07 mata pada Selasa, selepas bergerak antara paras terendah 1,595.26 mata dan tertinggi 1,626.55 mata, dengan 745 kaunter rugi mengatasi 395 kaunter untung.
Aktiviti dagangan turut menunjukkan sentimen pelabur yang berhati-hati apabila jumlah dagangan merosot kepada 2.79 bilion saham bernilai RM2.78 bilion, ketika kebimbangan terhadap inflasi Amerika Syarikat (AS) dan prospek kadar faedah terus mempengaruhi pasaran.
Berjaya Research berpandangan tekanan jualan berterusan serta kelemahan sentimen pasaran berpotensi mengehadkan pemulihan indeks, sementara harga minyak yang lemah turut memberi risiko kepada prestasi saham berkaitan sektor tenaga.
TA Research jangka tekanan jualan berterusan
Sementara itu, TA Research turut menjangkakan saham tempatan meneruskan penurunan dalam jangka pendek berikutan petunjuk teknikal yang semakin lemah, walaupun tanda-tanda ketegangan AS-Iran yang semakin reda berpotensi menyokong sentimen pasaran global.
Dalam nota pasaran bertarikh 11 November 2026, firma itu menetapkan paras sokongan segera FBM KLCI pada 1,564 mata, diikuti sokongan lebih kukuh pada 1,527 dan 1,490 mata, manakala rintangan terdekat berada pada 1,659 mata sebelum 1,700 mata.
TA Research turut melihat peluang pembelian ketika harga saham Dialog Group Bhd dan Hibiscus Petroleum Bhd mengalami penurunan lanjut, dengan potensi pemulihan teknikal sekiranya saham berkenaan menghampiri paras sokongan masing-masing.
Rakuten Trade jangka pembelian pada harga rendah
Berbeza dengan pandangan lebih berhati-hati itu, Rakuten Trade menjangkakan aktiviti pembelian pada harga rendah berpotensi muncul dalam masa terdekat, sekali gus membantu FBM KLCI bergerak dalam lingkungan 1,600 hingga 1,615 mata pada Rabu.
Menurut firma itu, kejatuhan pasaran tempatan turut dipengaruhi tekanan jualan mendadak terhadap saham YTL Power, manakala jumlah dagangan yang rendah mencerminkan pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati di tengah-tengah kebimbangan terhadap inflasi AS dan kemungkinan kenaikan kadar faedah.
Rakuten Trade turut melaporkan sektor tenaga mencatatkan penyusutan terbesar sebanyak 1.91% pada Selasa, diikuti utiliti yang merosot 1.85%, penjagaan kesihatan 1.60% dan perkhidmatan kewangan 1.13%, sementara sektor pembinaan meningkat 1.08% serta pengangkutan dan logistik naik 0.80%.- DagangNews.com






