
NEW YORK: Aryna Sabalenka tidak berdepan masalah untuk meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan pemain kelayakan dari Rusia, Polina Iatcenko 6-1, 6-1, semalam.
Pemain pilihan utama kejohanan itu tampil dominan sejak awal apabila melepaskan deretan pukulan kemenangan untuk menewaskan Iatcenko yang baru membuat penampilan sulung dalam undian utama perseorangan Grand Slam.
Sabalenka terus menguasai permainan dengan mendahului 5-0 sebelum Iatcenko, pemain ranking ke-160 dunia, akhirnya memenangi satu permainan dalam set pertama.
Pemain Belarus itu hanya kehilangan empat mata ketika melakukan servis pada set pembukaan sebelum terus mengukuhkan penguasaan untuk menamatkan perlawanan dalam tempoh singkat.
Kemenangan itu menyaksikan Sabalenka merekodkan kemenangan ke-15 berturut-turut di Flushing Meadows, sekaligus meneruskan usahanya mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya dalam dua edisi terakhir.
“Saya gembira dengan tahap permainan saya. Saya sudah bekerja keras, tetapi saya rasa kini saya semakin menjauhkan diri daripada cubaan untuk menjadi sempurna di gelanggang
.“Saya tahu anda tidak boleh menjadi sempurna dan saya hanya cuba menggunakan apa yang saya ada ketika ini,” katanya.
Sabalenka, juara empat Grand Slam, sebelum ini melalui beberapa keputusan mengecewakan termasuk kekalahan di Terbuka Perancis dan Wimbledon, selain prestasi sederhana dalam kejohanan pemanas badan gelanggang keras sebelum Terbuka AS.
“Saya rasa lebih kuat dari segi mental berbanding pertengahan musim dan saya juga merasa lebih baik dari segi fizikal,” katanya. – AGENSI
The post Sabalenka mudah mara pusingan ketiga Terbuka AS appeared first on Utusan Malaysia.




