SACC dijenamakan semula sebagai Selangor International Trade Centre

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 4:09 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SACC dijenamakan semula sebagai Selangor International Trade Centre

SHAH ALAM, 13 OGOS: Shah Alam Convention Centre (SACC) kini dijenamakan semula sebagai Selangor International Trade Centre (SITC), sebagai pelan pembangunan SA Sentral di Seksyen 14 yang bakal memacu transformasi dan peremajaan pusat bandar Shah Alam.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata penjenamaan semula itu menandakan evolusi peranan pusat berkenaan daripada lokasi penganjuran acara kepada hab perdagangan dan perniagaan yang lebih dinamik, berdaya saing serta berorientasikan masa hadapan.

“Menerusi SITC, PKNS berhasrat mewujudkan platform bersepadu yang menghimpunkan usahawan, pemain industri, komuniti perniagaan dan pelabur dalam satu ekosistem.

“Platform itu akan membuka lebih banyak ruang kepada jaringan strategik, kerjasama rentas sempadan, inovasi komersial serta peluang perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai platform perdagangan, konvensyen dan pameran utama di Selangor, SITC turut membawa aspirasi untuk menghubungkan perniagaan tempatan dengan pasaran serantau dan antarabangsa.

Usaha itu sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan.

"Kedudukan strategik SITC dalam pembangunan SA Sentral turut memperkukuh peranannya sebagai sebahagian daripada ekosistem bandar yang mengintegrasikan komponen perniagaan, komersial, sosial dan komuniti di tengah-tengah Shah Alam.

"Seiring usaha peremajaan pusat bandar berkenaan, PKNS turut merangka penjenamaan semula beberapa aset komersial dan komponen lain, khususnya di Seksyen 14," katanya.

Transformasi SACC kepada SITC dijangka memperkukuh kedudukan SA Sentral sebagai mercu tanda baharu Shah Alam, selain meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi perniagaan, perdagangan, pelaburan dan aktiviti komuniti.

PKNS berkata penjenamaan SITC bukan sekadar perubahan identiti, sebaliknya mencerminkan visi agensi itu untuk memaksimumkan potensi aset strategiknya serta memperkukuh peranan Shah Alam dan Selangor dalam landskap perdagangan serantau dan antarabangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved