Saham Barakah Offshore digantung 4 Jun ini, berisiko dinyahsenarai

Business & Finance
23 May 2025 • 11:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Barakah Offshore digantung 4 Jun ini, berisiko dinyahsenarai

image is not available

23/05/2025 - 11:46

Gambar/Barakah Offshore Petroleum Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Mei - Dagangan saham Barakah Offshore Petroleum Bhd akan digantung pada 30 Mei ini dan syarikat berkemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 4 Jun 2025, selepas gagal mendapatkan lanjutan masa untuk menyerahkan pelan pemulihan kewangan.

Syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu berkata, permohonan lanjutan masa ditolak kerana Bursa Malaysia mendapati tiada kemajuan jelas dalam usaha syarikat menyiapkan dan menghantar pelan pemulihan.

"Jika syarikat membuat rayuan terhadap penyahsenaraian, proses itu akan ditangguhkan sehingga keputusan rayuan dibuat.

"Namun, dagangan saham tetap akan digantung pada 30 Mei ini, walaupun keputusan rayuan belum diketahui," kata Barakah Offshore dalam makluman di Bursa Malaysia.

Barakah Offshore menghantar permohonan lanjutan baharu pada 30 April lalu, selepas beberapa kali diberi lanjutan.

Tempoh lanjutan terakhir tamat pada 14 Mei 2025.

Syarikat turut menarik balik pelan pemulihan yang dihantar pada 30 Oktober tahun lalu, selepas menerima bayaran adjudikasi sebanyak RM78.8 juta dan perkembangan berkaitan kontrak-kontrak baharu yang sedang ditender.

Pelan sebelum ini termasuk cadangan untuk mengurangkan modal sebanyak RM195 juta, menggabungkan setiap tiga saham menjadi satu dan menerbitkan 62.5 juta saham baharu kepada Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Nik Hamdan Daud bagi mengumpul RM7.5 juta.

Barakah Offshore menjadi syarikat PN17 sejak Mac 2019 selepas gagal membayar pinjaman kepada EXIM Bank bagi pembiayaan sebuah kapal. - DagangNews.com

featured standard