Saham GIIB menjunam 55% selepas Bursa Malaysia keluarkan pertanyaan UMA

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham GIIB menjunam 55% selepas Bursa Malaysia keluarkan pertanyaan UMA Image from: Saham GIIB menjunam 55% selepas Bursa Malaysia keluarkan pertanyaan UMA liza30/10/2026 - 11:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt – Saham GIIB Holdings Bhd terus berdepan tekanan jualan pada Jumaat apabila harganya merosot sehingga 55.56 peratus pada awal dagangan, sehari selepas Bursa Malaysia Securities mengemukakan pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) berhubung pergerakan saham syarikat pengeluar sebatian getah itu.

 

Saham GIIB dibuka pada 54.5 sen sebelum jatuh ke paras terendah 24 sen dan kemudian naik sedikit kepada 33 sen pada 9.53 pagi.

 

Sebanyak 46.18 juta saham GIIB bertukar tangan menjadikannya kaunter kedua paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia ketika itu.

 

Tekanan jualan tersebut menyusuli kejatuhan saham GIIB sebanyak 23.94 peratus pada 29 Oktober 2026 apabila harganya turun daripada 71 sen kepada 54 sen.

 

Pergerakan itu menyebabkan permodalan pasaran syarikat menyusut RM140.5 juta kepada RM446.2 juta berbanding RM586.7 juta sebelumnya.

 

Bursa Malaysia sebelum ini mengemukakan pertanyaan UMA kepada GIIB susulan perubahan ketara harga sahamnya. Bagaimanapun, syarikat itu masih belum memberikan maklum balas terhadap pertanyaan berkenaan setakat laporan ini ditulis.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lonjakan saham GIIB lebih 500% tahun ini, Bursa Malaysia persoal kenaikan luar biasa

 

Saham pernah melonjak lebih sembilan kali ganda

Penurunan terbaharu itu memperlihatkan perubahan ketara dalam prestasi dagangan saham GIIB selepas mencatat kenaikan besar sejak awal tahun ini.

 

Daripada sekitar lapan sen pada awal tahun, saham syarikat itu meningkat lebih sembilan kali ganda sebelum mencapai paras tertinggi 74 sen pada 23 Oktober lalu.

 

GIIB sebelum ini turut menerima dua pertanyaan UMA susulan pergerakan harga saham luar biasa pada penghujung April.

 

Dalam maklum balas terdahulu, syarikat itu menjelaskan cadangan mempelbagaikan perniagaan ke sektor penjagaan kesihatan serta menyatakan bahawa pihaknya mematuhi keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.

 

Pemegang saham utama GIIB turut mengetuai Mega Fortris

Dalam perkembangan berkaitan, ahli perniagaan, Datuk Ng Meng Kee merupakan pemegang saham utama GIIB dengan pegangan langsung sebanyak 7.17 peratus serta kepentingan tidak langsung sebanyak 7.87 peratus menerusi Mega Fortris Global Pte Ltd dan Mega Fortris Capital Ltd.

 

Ng turut memegang jawatan pengerusi bukan eksekutif bukan bebas Mega Fortris Bhd, yang sahamnya juga mengalami penurunan ketara dalam dagangan minggu ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved